Belanjawan 2026 bukti kerajaan dengar suara anak muda

SHAH ALAM - Belanjawan 2026 membuktikan Kerajaan Madani benar-benar mendengar suara anak muda kerana inisiatif yang diumumkan bukan sahaja menyasarkan pembangunan kemahiran malah membuka ruang kepada mobiliti sosial dan peluang pekerjaan yang lebih luas.
Ketua Biro Profesional Muda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Noor Amelia Zainabila Zaiffri berkata, pihaknya menyambut baik pelbagai inisiatif strategik dalam belanjawan itu yang memberi impak langsung kepada pembangunan bakat dan kebolehpasaran tenaga kerja masa hadapan khususnya generasi muda.
“Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah dari segi pembangunan bakat, kemahiran dan kerjaya generasi muda. Kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk membudayakan sains, teknologi dan daya cipta dalam kalangan belia sebagai langkah ke arah mencapai status Negara Kecerdasan Pintar (Al) menjelang 2030.
“Program K-Youth pula menerima RM200 juta bagi melatih 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, teknologi, digital dan kejuruteraan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Noor Amelia Zainabila yang juga Ahli Majlis Pimpinan AMK memaklumkan, pelajar tahfiz turut diberi perhatian melalui program khas kendalian GiatMara yang melatih 720 peserta dalam bidang digital, Al serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka peluang kerjaya selepas tamat belajar.
Menurutnya, selain itu, RM30 juta diperuntukkan kepada Industrial Boot Camp (IBC) Mara yang telah berjaya melatih 5,000 peserta dengan jaminan penempatan pekerjaan.
Kata beliau, dari aspek pemerkasaan pendidikan dan ekosistem TVET, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM7.9 bilion bagi memperkukuh TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.
“Kerajaan turut mencadangkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) TVET sebagai langkah strategik untuk menambah baik dasar, struktur dan pelaksanaan TVET secara menyeluruh.
“Kerajaan turut memperlihatkan komitmen dalam memperkasakan wanita, khususnya dalam sektor korporat dan tenaga kerja profesional melalui peningkatan keterwakilan wanita dalam kepimpinan korporat. Setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat senaraian awam sudah memenuhi sasaran 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita.
Jelasnya, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan asuhan anak-anak turut memberi kelegaan kepada wanita berkerjaya dan menyokong keseimbangan antara tanggungjawab profesional dan keluarga.
Noor Amelia Zainabila berkata, kerajaan turut memperkenalkan insentif sehingga RM1,000 kepada pencari kerja dan graduan baharu yang perlu berpindah lokasi untuk menerima tawaran pekerjaan, melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Inisiatif itu katanya, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran mobiliti yang dihadapi oleh anak muda dan ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan awal, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia di seluruh negara tanpa kekangan geografi.
“Belanjawan 2026 jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan serta kebolehpasaran generasi muda. Ia turut menekankan prinsip keterangkuman dengan memastikan setiap anak muda diberi peluang untuk maju bersama, tanpa ada yang tertinggal.
“Kami percaya Belanjawan 2026 bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah merangkumi usaha dan inisiatif untuk membentuk generasi muda yang inklusif, progresif dan berdaya saing,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 menekankan pembangunan kemahiran, mobiliti sosial dan peluang pekerjaan anak muda
- RM15 juta untuk membudayakan sains, teknologi dan daya cipta menuju Negara Kecerdasan Pintar menjelang 2030
- Program K-Youth dengan RM200 juta untuk melatih 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik
- RM30 juta untuk Industrial Boot Camp Mara yang melatih 5,000 peserta dengan jaminan penempatan pekerjaan
- Penggubalan Rang Undang-Undang TVET dan peningkatan keterwakilan wanita dalam kepimpinan korporat sebagai langkah pemerkasaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

