Tiga kamera dipasang, Perhilitan siasat kehadiran harimau di Sri Baiduri

AMPANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang tiga perangkap kamera di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana bagi mengesahkan dakwaan kehadiran harimau di kawasan berhampiran hutan pangsapuri tersebut.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, aduan diterima pada Rabu lalu daripada penduduk setempat yang melaporkan terdengar bunyi menyerupai harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri.
Susulan itu, satu operasi telah dijalankan oleh Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor bermula Khamis.
“Tiga perangkap kamera dipasang di sekitar kawasan aduan. Tiada perangkap sangkar dipasang buat masa ini dan pemantauan dijalankan melalui perangkap kamera bagi pengesahan kehadiran hidupan liar tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.
Menurut Abdul Kadir, siasatan lapangan setakat ini tidak menemukan sebarang kesan fizikal seperti tapak kaki atau najis, namun pasukan operasi menemui k kesan cakaran pada batang pokok.
“Kesan cakaran tersebut masih belum dapat disahkan spesies hidupan liar yang terlibat,” jelasnya.
Beliau berkata, pemantauan berkala dan semakan perangkap kamera akan diteruskan bagi mendapatkan pengesahan dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya pengesanan positif direkodkan.
Abdul Kadir turut menasihatkan penduduk agar tidak memasuki kawasan belukar di belakang pangsapuri tanpa keperluan.
“Laporkan segera sebarang tanda atau bunyi mencurigakan kepada Perhilitan.
“Makluman keselamatan juga telah disampaikan melalui pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk hebahan kepada komuniti setempat,” katanya.
Ringkasan AI
- Perhilitan memasang tiga perangkap kamera di Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana untuk mengesan dakwaan harimau
- Aduan dari penduduk terdengar bunyi seperti harimau di hutan belakang pangsapuri
- Operasi dijalankan oleh pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat dan Unit Konservasi Harimau Malaya Selangor
- Tiada kesan fizikal seperti tapak kaki atau najis ditemui tetapi ada kesan cakaran pada batang pokok
- Penduduk dinasihatkan tidak memasuki kawasan belukar dan melaporkan sebarang tanda mencurigakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
