'Tiada kesan fizikal kehadiran harimau di Pangsapuri Sri Baiduri setakat ini' - Perhilitan

AMPANG - Tiada imej kehadiran harimau atau lain-lain hidupan liar yang dikesan berdasarkan rakaman pada perangkap kamera yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiga unit perangkap kamera telah dipasang pada Jumaat.
"Setakat ini, belum ada imej rakaman yang menunjukkan kehadiran harimau atau mana-mana hidupan liar.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi juga tidak menemui sebarang kesan fizikal seperti ngauman, najis atau tapak kaki harimau. Kesan yang dijumpai hanya hanya babi hutan yang sememangnya terdapat di kawasan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambahnya, pasukan Perhilitan masih menjalankan pemantauan lapangan di kawasan pangsapuri terbabit bagi mengesahkan status kehadiran harimau.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan aduan diterima Perhilitan pada Rabu lalu daripada penduduk yang melaporkan terdengar bunyi seperti harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri.
Berikutan itu, operasi telah dijalankan oleh pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor bermula Khamis.
Perhilitan juga menasihatkan penduduk agar tidak memasuki kawasan belukar belakang pangsapuri tanpa keperluan, serta melaporkan segera sebarang tanda atau bunyi mencurigakan.
Ringkasan AI
- Tiada imej harimau dikesan oleh kamera perangkap Perhilitan di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana
- Tiga unit perangkap kamera telah dipasang oleh Perhilitan
- Setakat ini, tiada bukti fizikal seperti ngauman, najis atau tapak kaki harimau dijumpai
- Kesan yang ditemui hanyalah babi hutan
- Perhilitan masih menjalankan pemantauan di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
