Belanjawan 2026 beri tumpuan besar pembangunan Johor - AMK Johor

Muhammad Faezuddin
Muhammad Faezuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan Belanjawan Madani 2026 sebagai bukti kemampuan kerajaan Persekutuan mengimbangi kebajikan rakyat dengan pengurusan fiskal berhemah, selain memberi tumpuan jelas kepada pembangunan negeri Johor.

Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, kejayaan kerajaan menurunkan kadar defisit fiskal kepada 3.5 peratus tanpa menambah cukai kepada rakyat menunjukkan kepimpinan yang berintegriti serta berupaya mentadbir secara bertanggungjawab.

“Belanjawan ini bukan sahaja berteraskan kebajikan rakyat, malah berpandukan disiplin fiskal yang kukuh sekali gus membuktikan reformasi pentadbiran kewangan negara sedang berjalan dengan baik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, pelbagai projek strategik yang diumumkan dalam belanjawan berkenaan turut memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap Johor sebagai pintu gerbang ekonomi serantau.

Antaranya pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang merekodkan pelaburan diluluskan RM37.1 bilion serta tambahan komitmen baharu RM29 bilion, projek RTS Link Johor–Singapura yang dijangka beroperasi awal 2027, serta pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) dan blok tambahan Hospital Pontian.

Selain itu, Faezuddin berkata, sektor pendidikan negeri turut mendapat perhatian di Johor.

"Pembinaan lapan sekolah baharu di beberapa daerah termasuk Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat dan Kulai sebagai pelaburan jangka masa panjang di samping samping pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Mengkibol dan Sungai Chaah bagi menangani risiko bencana.

“Fokus terhadap program ternakan biri-biri pedaging juga memberi peluang kepada golongan belia tani untuk terlibat secara aktif dalam sektor pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan belia melalui Program Pembangunan Bakat TVET dan latihan HRD Corp akan melahirkan tenaga muda yang berkemahiran serta berdaya saing tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Pendekatan fiskal yang mantap, disertai pelaburan strategik dan pembangunan belia, menunjukkan kerajaan berada di landasan yang betul untuk membina masa depan negara yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Kerajaan memperuntukkan RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dokumen itu adalah belanjawan sulung yang menyemangati Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Ringkasan AI

  • Belanjawan Madani 2026 menunjukkan kemampuan kerajaan mengimbangi kebajikan rakyat dengan pengurusan fiskal berhemah
  • Kadar defisit fiskal berjaya diturunkan kepada 3.5 peratus tanpa menambah cukai
  • Pelbagai projek strategik di Johor seperti pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dan projek RTS Link Johor–Singapura
  • Pembinaan lapan sekolah baru di Johor dan projek tebatan banjir sebagai pelaburan jangka panjang
  • Pendekatan fiskal mantap dengan pelaburan strategik dan pembangunan belia menunjukkan kerajaan berada di landasan yang betul untuk masa depan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!