Koperasi wanita di Pahang kurang aktif

Ibrahim (duduk) menandatangani plak perasmian pusat boling tersebut.
Ibrahim (duduk) menandatangani plak perasmian pusat boling tersebut.
A
A
A

LIPIS - Terdapat sesetengah koperasi wanita di negeri ini dilihat kurang aktif menjalankan aktiviti perniagaan berikutan kecenderungan ahlinya yang lebih menumpukan kepada produk masing-masing.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang, Ibrahim Hussain berkata, setakat ini, negeri itu mempunyai 1,173 koperasi berdaftar dengan ahli wanita melebihi 200,000 orang.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut hanya sebahagian kecil yang benar-benar aktif menyertai aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

"Kita dapati ramai wanita lebih selesa berniaga secara individu. Apabila koperasi ditubuhkan, masing-masing mahu mempromosikan produk sendiri sehingga timbul persaingan dalaman.

“Keadaan ini menjejaskan semangat kerjasama yang menjadi asas utama dalam gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Peluncuran Superbowl Lipis di Bangunan Centrepoint di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Wanita (WI) Daerah Lipis Berhad (KOWILIP) KOWILIP, Wan Norizan Wan Badruzzaman dan wakil rakan strategik Superbowl, Jeriel Seong

Jelasnya lagi, KOWILIP turut melakar sejarah sebagai koperasi wanita pertama di Malaysia memiliki dan menguruskan pusat boling sendiri hasil usaha sama sejak Oktober 2024.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim (duduk, tengah) bersama Wan Norizan (empat dari kiri) bergambar kenangan sempena majlis peluncuran pada Khamis.
Ibrahim (duduk, tengah) bersama Wan Norizan (empat dari kiri) bergambar kenangan sempena majlis peluncuran pada Khamis.

"Kita memuji kejayaan koperasi ini dan pencapaian tersebut membuktikan kemampuan wanita bekerjasama dalam menjayakan projek berskala besar serta menjadi contoh terbaik kepada koperasi wanita lain,” ujarnya.

Tambah beliau, Pahang kini menduduki tempat kedua tertinggi di Malaysia dari segi perolehan gerakan koperasi dengan jumlah RM979 juta bagi tahun 2024, hanya sedikit menurun berbanding RM1.02 bilion pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan semakan separuh tahun pertama 2025, kita yakin angka itu akan kembali melebihi RM1 bilion menjelang akhir tahun.

"SKM Pahang turut mencatat kejayaan tertinggi di negara ini apabila berjaya memulihkan 23 koperasi dormant (tidak aktif) sehingga September lalu," ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut menggalakkan koperasi di negeri itu memanfaatkan platform media sosial dan pengaruh digital bagi memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada masyarakat.

“Zaman kini memerlukan promosi yang kreatif. Kalau influencer seperti Khairul Aming boleh raih jutaan jualan dalam beberapa saat, koperasi juga perlu memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh jenama dan daya saing mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Wan Norizan berbangga kerana KOWILIP menjadi koperasi wanita pertama di Malaysia yang memiliki dan menguruskan pusat bowling sendiri.

"Usaha ini bukan hanya memberi peluang ekonomi kepada ahli koperasi, tetapi juga membuka ruang baharu kepada komuniti setempat,” katanya.

Jelasnya, pelbagai aktiviti dirancang termasuk pembangunan program pembangunan bakat sukan terbabit.

 

Ringkasan AI

  • Koperasi wanita di Pahang kurang aktif dalam perniagaan kerana ahli lebih fokus pada produk mereka sendiri
  • Pahang mempunyai 1,173 koperasi dengan ahli wanita melebihi 200,000 orang
  • Hanya sebahagian kecil daripada koperasi wanita yang aktif dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan
  • KOWILIP adalah koperasi wanita pertama di Malaysia yang memiliki dan mengurus pusat boling sendiri
  • SKM Pahang mencatat kejayaan memulihkan 23 koperasi tidak aktif dan menggalakkan penggunaan media sosial untuk promosi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!