Lembah Pantai, Titiwangsa diisytihar zon merah di Wilayah Persekutuan

Annuar pada sesi Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
Annuar pada sesi Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wilayah Persekutuan mencatatkan 217 kes koronavirus (Covid-19) sehingga jam 2 petang dengan Lembah Pantai dan Titiwangsa diisytihar sebagai zon merah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 212 kes sementara Labuan dengan lima kes.

Menurutnya, pengisytiharan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu dibuat berdasarkan jumlah kes bagi sesuatu kawasan.

"KKM telah mentakrifkan jika sesuatu kawasan mempunyai lebih 40 kes maka kawasan itu perlu diberi perhatian dan diisytihar sebagai zon merah.

"Dalam hal ini, dua kawasan zon merah telah dikenal pasti dalam kawasan Wilayah Persekutuan iaitu di kawasan Masjid Sri Petaling dan Titiwangsa.

"Kalau ikutkan Masjid Sri Petaling di bawah Seputeh tapi ada juga yang mentafsirkannya sebagai kawasan Lembah Pantai. Saya akan perjelaskan perkara ini pada petang ini kerana ada Mesyuarat Keselamatan Negara," katanya pada sesi Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan.

Annuar turut meminta penduduk bersiap sedia mengikuti sebarang pengumuman penting termasuk langkah tambahan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Mereka perlu kurangkan pergerakan dan memberi perhatian kepada langkah-langkah yang akan dilakukan oleh MKN khususnya KKM dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Berikan perhatian tentang pengumuman yang dikemas kini dari semasa ke semasa, perlu siap sedia mungkin ada langkah tambahan agar zon merah ini dapat kita kawal sebaik mungkin," katanya.

Pada sesi live berlangsung selama 28 minit itu, Annuar turut memaklumkan terdapat dua kes penahanan kluster tabligh Masjid Sri Petaling yang belum menjalani saringan kesihatan kelmarin.

"Mereka terpaksa dijemput oleh polis untuk menjalani pemeriksaan melibatkan kawasan di Projek Perumahan Awam (PPR) Jelatek dan Presint 5 Putrajaya.

"Masih ada peserta tabligh ijtimak belum menjalani pemeriksaan. Langkah yang selamat ialah tampil untuk membuat saringan kemudian ikuti langkah tambahan dengan kuarantin sukarela bagi pastikan diri, keluarga dan jiran dalam keadaan selamat," katanya.

Selain itu, Annuar turut memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan dron untuk pemantauan di kawasan sibuk atau ramai yang dianggap kaedah lebih berkesan memantau pergerakan dan pematuhan orang awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.