Kadar kebutaan rakyat Malaysia menurun

Dr Mohd Azman (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025 bertemakan ‘Love Your Eyes, Every Story Counts’ pada Khamis.
Dr Mohd Azman (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025 bertemakan ‘Love Your Eyes, Every Story Counts’ pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Kadar kebutaan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 50 tahun ke atas berjaya dikurangkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan dan rawatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

Beliau berkata, Tinjauan Mata Kebangsaan Keempat (National Eye Survey IV – NES IV) 2025, khususnya di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, merekodkan penurunan kadar kebutaan daripada 1.5 peratus pada tahun 2014 kepada hanya 0.7 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, penurunan itu membuktikan usaha KKM menerusi pelbagai program rawatan dan saringan mata memberi kesan positif terhadap kualiti hidup rakyat serta mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit di negara ini.

“KKM mewujudkan Klinik Katarak KKM (KK-KKM) sejak 2013 sebagai komitmen untuk mencegah kebutaan akibat katarak dengan memberi tumpuan kepada saringan serta rawatan di kawasan pedalaman.

“Inisiatif itu dilaksanakan melalui empat kategori iaitu KK-KKM statik, transit, karnival dan unit bergerak, berlandaskan konsep Bringing High-Impact Quality Eye Care Closer to Home.

“Pendekatan ini bukan sahaja menekankan aspek pembedahan berkualiti, malah turut menggalakkan advokasi komuniti serta pemantauan berterusan terhadap prestasi perkhidmatan katarak outreach di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025 bertemakan ‘Love Your Eyes, Every Story Counts’ di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Ketua Kepakaran Oftalmologi Kebangsaan, Dr Zalifa Zakiah Asnir.

Dr Mohd Azman berkata, keberkesanan pendekatan tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Klinik Katarak KKM dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu kajian kes inovasi kesihatan bagi rantau Pasifik Barat menerusi WHO Western Pacific Innovation Challenge 2021/2022.

Artikel Berkaitan:

“Ternyata segala program yang diusahakan berkesan dan berjaya mengurangkan bebanan kes katarak yang selama ini menjadi punca utama kebutaan dalam kalangan warga emas,” katanya.

Beliau menambah, kempen kesedaran terhadap penyakit mata kekal seperti glaukoma juga giat dijalankan setiap tahun menerusi sambutan Minggu Glaukoma Sedunia, selain perancangan memperluas perkhidmatan rawatan glaukoma ke seluruh negara.

“Matlamat utama KKM adalah memastikan setiap rakyat, tidak kira di mana mereka berada, mendapat akses kepada rawatan dan penjagaan mata berkualiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Azman berkata, KKM menyambut baik saranan WHO untuk melaksanakan projek MySPECS melalui kerjasama dengan pelbagai NGO dan kementerian lain bagi memastikan program saringan rabun yang efektif kepada pelajar sekolah dan komuniti.

Katanya, langkah itu termasuk memastikan akses kepada cermin mata dapat dipertingkat dan dipermudahkan untuk semua golongan.

“Data daripada Tinjauan Mata Kebangsaan Keempat 2025 (NES IV) turut menunjukkan prevalens kurang upaya penglihatan sederhana meningkat daripada 6.3 peratus pada tahun 2014 kepada 6.8 peratus pada tahun 2025.

“Perkara ini disebabkan oleh kadar ralat refraksi atau masalah rabun mata yang masih tinggi dalam kalangan masyarakat negara ini,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Kadar kebutaan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 50 tahun ke atas berjaya dikurangkan dengan pelbagai inisiatif KKM
  • Penurunan kadar kebutaan daripada 1.5 peratus pada tahun 2014 kepada hanya 0.7 peratus tahun ini dicatatkan
  • KKM mewujudkan Klinik Katarak KKM sejak 2013 untuk mencegah kebutaan akibat katarak, terutama di kawasan pedalaman
  • Pendekatan KKM mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai inovasi kesihatan
  • KKM merancang meningkatkan perkhidmatan rawatan bagi penyakit mata seperti glaukoma dan memperluas program saringan rabun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!