Doktor peribadi sahkan Trump miliki jantung seperti orang berusia 65 tahun

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukan sahaja berada dalam keadaan kesihatan yang sangat baik, malah jauh lebih cergas berbanding usianya, menurut laporan doktor peribadinya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan rutin pada Jumaat di Hospital Tentera Walter Reed berhampiran ibu negara Washington, doktor Sean Barbabella menyimpulkan bahawa Trump mempunyai jantung dan sistem vaskular seperti individu berusia 65 tahun, meskipun beliau kini berumur 79 tahun.
Menurut laporan akhir Barbabella yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, pakar daripada pelbagai bidang telah menjalankan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap Trump.
Hasilnya menunjukkan bahawa "Trump kekal berada dalam tahap kesihatan luar biasa, dengan prestasi sistem kardiovaskular, pernafasan, saraf dan fizikal yang kuat.”
Laporan itu turut menyatakan bahawa sebagai presiden, Trump berada dalam keadaan sepenuhnya mampu melaksanakan jadual tugas harian yang padat.
Beliau juga menerima beberapa suntikan vaksin sebagai persediaan bagi lawatan luar negara yang akan datang, termasuk dos penggalak terhadap Covide-19.
Di AS, menjadi kebiasaan dalam proses politik bagi presiden untuk mendedahkan status kesihatan mereka kepada umum - bukan kerana diwajibkan undang-undang, tetapi menjadi amalan tradisi yang sukar dielakkan oleh mana-mana pemimpin.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, timbul spekulasi mengenai tahap kesihatan beliau selepas tular imej menunjukkan lebam - sebahagiannya dipercayai ditutup dengan solekan - pada tangan serta kaki yang kelihatan bengkak.
Trump menjelaskan bahawa lebam itu berpunca daripada kekerapan bersalaman, manakala jurucakapnya, Karoline Leavitt, berkata ia disebabkan penggunaan ubat pencair darah.
Pada Julai lalu, Rumah Putih mengumumkan bahawa Trump mengalami "kekurangan vena kronik", iaitu keadaan yang tidak berbahaya, menjejaskan salur darah kaki dan biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang berusia. - Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam keadaan kesihatan yang sangat baik dan lebih cergas berbanding usianya
- Doktor Sean Barbabella mendapati Trump mempunyai jantung dan sistem vaskular seperti individu berusia 65 tahun walaupun sebenarnya berumur 79 tahun
- Pemeriksaan kesihatan menyeluruh yang dijalankan oleh pakar dari pelbagai bidang menunjukkan Trump dalam tahap kesihatan luar biasa
- Sebagai presiden, Trump mampu menjalankan jadual tugas harian yang padat
- Trump menerima beberapa suntikan vaksin termasuk dos penggalak terhadap COVID-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
