Sebahagian besar rakyat Malaysia berpendapatan menengah rendah ke bawah - Noor Azlan

Sumber gambar daripada hantaran Facebook Noor Azlan pada Rabu. Gambar kecil: Noor Azlan
Sumber gambar daripada hantaran Facebook Noor Azlan pada Rabu. Gambar kecil: Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM – Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan (HEIS) 2024 yang diumumkan pada Rabu mendedahkan sebahagian besar rakyat Malaysia mempunyai pendapatan rendah di negara ini.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, dapatan itu menunjukkan pendapatan isi rumah tahun 2024 dan data upah bulanan pekerja sektor formal bagi suku pertama 2025 didapati memaparkan pola yang hampir sama.

“Upah individu dan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia terherot ke bawah.

"Mudah disimpulkan, sebahagian besar rakyat Malaysia berpendapatan menengah rendah ke bawah! Ini cabaran besar untuk negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Noor Azlan, meskipun pelbagai indikator ekonomi seperti peningkatan pelaburan dan kadar guna tenaga menunjukkan perkembangan positif, namun persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada peningkatan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada pendapatan rakyat yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini diharap dapat memberi tumpuan kepada usaha memperbetulkan ketidakseimbangan struktur pendapatan rakyat.

“Pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan, peningkatan pekerjaan, malah apa sahaja indikator ekonomi yang dilaporkan. Pokoknya, adakah pendapatan rakyat semakin baik? Cukup untuk hidup yang selesa?

“Moga Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan memberi jalan untuk memperbetulkan keherotan ini. Mesti ada,” katanya.

Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan 2024 mendedahkan sebahagian besar rakyat Malaysia mempunyai pendapatan rendah
  • Upah individu dan pendapatan isi rumah di Malaysia terherot ke bawah
  • Walaupun terdapat peningkatan pelaburan dan kadar guna tenaga, pendapatan rakyat belum tentu meningkat
  • Belanjawan 2026 diharap dapat memperbetulkan ketidakseimbangan struktur pendapatan rakyat
  • Belanjawan tersebut akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!