PRN Sabah: SPR terima writ pembubaran, mesyuarat khas Selasa depan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pemakluman itu diterima daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya pada Selasa.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Selasa minggu depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting serta perkara lain berkaitan PRN Sabah ke-17.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
Pada pilihan raya ke-16 2020, PRU DUN itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersaru Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Sementara Parti Warisan pula, memperoleh 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta tiada penyertaan BN dan PAS dalam GRS.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan penerimaan pemakluman rasmi tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16
- Pemakluman tersebut diterima daripada Speaker DUN Sabah
- Sebuah pilihan raya umum harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran
- Mesyuarat Khas SPR akan diadakan untuk membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sabah ke-17
- Pembubaran DUN Sabah diumumkan selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


