9,500 pegawai, anggota polis akan ditugaskan di PRN Sabah

Mohd Khalid Ismail
Mohd Khalid Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 9,500 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penugasan itu termasuk 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan dengan lebih 3,500 saluran mengundi di Sabah.

"Kita turut mengambil kira keluasan dan cabaran geografi negeri tersebut yang memerlukan persiapan logistik termasuk penggunaan helikopter bagi memastikan penempatan anggota dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, Bukit Aman akan memberikan bantuan yang sepatutnya dan setakat ini permohonan daripada Polis Sabah dianggarkan 1,000 ke 1,500 tambahan pegawai dan anggota untuk dihantar ke sana.

"Kita menasihatkan semua pihak termasuk pemimpin parti dan penyokong agar menjaga tatasusila serta disiplin sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

“Negara kita berbilang kaum dan berada dalam keadaan baik. Saya menyeru semua pihak supaya mematuhi undang-undang agar PRN kali ini dapat dijalankan dengan lancar, aman dan sempurna,” katanya.

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seramai 9,500 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan untuk PRN Sabah
  • Penugasan itu meliputi 73 DUN dan lebih 3,500 saluran mengundi di Sabah
  • Kelengkapan logistik termasuk penggunaan helikopter diperlukan untuk mengatasi keluasan dan cabaran geografi Sabah
  • Bukit Aman akan hantar bantuan tambahan 1,000 hingga 1,500 pegawai dan anggota ke Sabah
  • Ketua Polis Negara menyeru semua pihak menjaga tatasusila dan disiplin untuk pilihan raya yang aman dan teratur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!