Cubaan seludup 40 tan beras RM560,000 gagal

GURUN - Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menumpaskan cubaan menyeludup beras putih seberat 40 tan bernilai kira-kira RM560,000 dalam satu operasi di sini awal pagi Selasa.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, kejayaan itu hasil risikan dan intipan selama sebulan menerusi Op Taring Bravo 4 yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara.
Menurutnya, dalam operasi kira-kira jam 4 pagi itu, pasukan terbabit menahan sebuah treler yang disyaki membawa muatan beras putih dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan pemandu lori telah gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan muatan dibawa.
"Berikutan itu, dua lelaki tempatan berusia 20-an dan 50-an ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Jelas beliau, lori treler dan muatan beras 40 tan bernilai anggaran RM560,000 turut dirampas.
Kes disiasat bawah Seksyen 7(2) Akta 522, Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambah Shahrum, pihaknya komited meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan barangan kawalan khususnya beras yang boleh menjejaskan bekalan dalam negara.
“Briged Utara PGA akan terus mempergiat rondaan dan risikan di sempadan negeri seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras secara berterusan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta berhasil menggagalkan penyeludupan 40 tan beras bernilai RM560,000
- Operasi ini adalah hasil dari risikan dan intipan selama sebulan oleh Cawangan Risik Briged Utara
- Treler yang membawa beras disyaki diseludup dari negara jiran ditahan tanpa dokumen sah
- Dua lelaki tempatan ditahan untuk membantu siasatan
- Kes ini disiasat bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras dengan hukuman maksimum RM15,000 atau penjara dua tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

