Gambar buaya di Sungai Kinta disyaki janaan AI - Perhilitan

BATU GAJAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menolak kemungkinan gambar seekor buaya di Sungai Kinta berhampiran Kampung Pisang di sini yang tular di media sosial merupakan imej janaan kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, berdasarkan semakan terdapat beberapa perkongsian imej di lokasi sama yang memaparkan kehadiran haiwan lain termasuk badak air.
"Palsu. Ia gambar edit (suntingan) AI. Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kehadiran buaya di situ," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, penyebaran maklumat yang tidak tepat seumpama itu dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada orang ramai khususnya pemancing.

Katanya, Perhilitan memang tiada bidang kuasa terhadap penyebar berita palsu namun tindakan boleh diambil melalui polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Mohon pihak berkenaan tidak sebarkan maklumat tidak tepat dengan menyalahgunakan teknologi," jelasnya.
Terdahulu, tular perkongsian di media sosial menggesa orang ramai khususnya kaki pancing agar berhati-hati susulan kemunculan buaya berhampiran jambatan di Kampung Pisang, Batu Gajah.
Perkongsian itu turut memaparkan imej seekor buaya berada berhampiran tebing sungai.
Ringkasan AI
- Perhilitan Perak tidak menolak kemungkinan gambar buaya di Sungai Kinta adalah hasil janaan AI
- Berdasarkan semakan, gambar yang tular itu didapati palsu dan tidak ada aduan buaya di situ
- Penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai
- Perhilitan tidak ada bidang kuasa terhadap penyebar berita palsu tapi tindakan boleh diambil melalui polis dan SKMM
- Gambar yang tular menggesa pemancing berhati-hati kerana kehadiran buaya di Kampung Pisang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

