Perhilitan bongkar hobi pelik awet binatang liar

KAJANG – Hobi pelik seorang lelaki mengumpul haiwan liar yang diawet sejak setahun lalu akhirnya terbongkar selepas kediamannya di Bandar Baru Bangi di sini diserbu pihak berkuasa pada Khamis lalu.
Serbuan itu dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor dengan kerjasama Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 3.40 petang.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Sitaan telah dilakukan ke atas dua ekor kura-kura spesies Geochelone sulcata, seekor disyaki buaya tembaga, tiga ekor disyaki kucing batu, dua ekor musang pandan, seekor tarantula, satu tanduk disyaki milik rusa sambar serta satu hulu keris disyaki diperbuat daripada gading hidupan liar, dengan nilai anggaran keseluruhan RM80,000.
“Turut dirampas tiga balang kaca, satu bekas plastik, satu bungkusan kurier dan satu peti ais,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lebih cenderung kepada hobi mengumpul hidupan liar yang diawet (spesimen taksidermi) berbanding aktiviti penjualan secara komersial.
Katanya, setakat ini tiada bukti kukuh menunjukkan suspek menjalankan urus niaga atau perdagangan hidupan liar.
Tambah Abdul Kadir, suspek kini direman oleh pihak polis bagi siasatan berhubung kesalahan lain di bawah agensi penguat kuasa itu.
“Kesemua barang kes telah dibawa ke Pejabat Perhilitan Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kediaman seorang lelaki di Bandar Baru Bangi diserbu oleh Perhilitan dan Polis kerana mengumpul haiwan liar yang diawet
- Serbuan menghasilkan penemuan pelbagai spesimen haiwan diawet termasuk kura-kura, buaya tembaga, dan tarantula
- Lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap dan barang kes seperti haiwan diawet dan peralatan penyimpanan dirampas
- Siasatan awal menunjukkan aktiviti pengumpulan haiwan diawet itu lebih kepada hobi daripada tujuan komersial
- Suspek kini direman untuk siasatan lebih lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
