[VIDEO] Isu hidang arak: PN gesa King Sing mohon maaf secara terbuka
KUALA LUMPUR – Kumpulan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia khususnya kepada umat Islam atas kesilapan hidangan arak dalam acara rasmi kerajaan yang melibatkan kementeriannya.
Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, permohonan maaf itu jika dizahirkan bukan melemahkan tetapi menunjukkan sifat rendah diri dan tanggungjawab moral sebagai pemimpin Kerajaan Madani.
"PN juga menyeru Perdana Menteri untuk menggugurkan menteri berkenaan daripada jawatannya sebagai menteri yang bertanggungjawab.
"Beliau perlu memikul tanggungjawab moral atas insiden memalukan ini, kegagalan menjaga sensitiviti agama adalah satu bentuk kecuaian kepimpinan yang tidak boleh dipandang ringan," katanya pada sidang akhbar yang turut disertai 10 Ahli Parlimen PN lain di Dewan Rakyat pada Selasa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu dilapor memberi amaran keras kepada King Sing serta kementerian terbabit supaya memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak pada acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Kata Anwar, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati menegaskan, PN juga menggesa Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan telus dan menyeluruh peruntukan dan perbelanjaan digunakan Tourism Malaysia termasuk dalam penganjuran majlis berkenaan.
"Siasatan juga sama ada wujud pembaziran kewangan dana kerajaan sesuka hati dan adakah wujud salah guna kuasa. Bagaimana wang kerajaan dibelanjakan dan apakah benar dana awam digunakan untuk membayar minuman keras yang sememangnya tidak dibenarkan dan salah dari segi peraturan kerajaan.
"PN turut mendesak agar Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) untuk laksanakan audit penjawatan dan menilai semula tatacara pelantikan pegawai kanan Tourism Malaysia dan agensi di bawahnya.
“Jawatan penting seperti Ketua Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif mesti diisi calon berkelayakan dari segi akademik, kekananan dan berpengalaman luas dalam bidang pelancongan, selain yang paling penting haruslah seorang yang amanah dan berintegriti,” ujarnya.
Ujar beliau, pelantikan terbabit tidak boleh dibuat berdasarkan hubungan politik atau pertimbangan peribadi kerana ia punca kemerosotan imej dan profesionalisme agensi kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

