Larangan hidang arak: Tetapkan pekeliling baharu lebih jelas dalam majlis rasmi - MP PKR

Pada Isnin, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.
Pada Isnin, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan menetapkan keperluan pekeliling baharu lebih jelas bagi pematuhan etika majlis rasmi kerajaan termasuk larangan mutlak terhadap penghidangan arak, walaupun agensi kerajaan bukan penganjur utama sesuatu acara.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, langkah itu penting bagi mengelak sebarang kekeliruan dan memastikan setiap majlis rasmi kerajaan menghormati nilai serta sensitiviti masyarakat majmuk berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Mengikut konvensyen, memang tidak sepatutnya perkara seperti itu berlaku dalam majlis kerajaan.

"Sebagai seorang Muslim, saya rasa memang tidak wajar perkara itu terjadi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Zahir dan Muhammad Bakhtiar
Zahir dan Muhammad Bakhtiar

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Beliau berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

Pada Isnin, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri King Sing.

Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut mengingatkan bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, justeru sebarang majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan prinsip tersebut.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu menambah, Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi)juga telah menegaskan bahawa penganjuran majlis rasmi perlu selaras dengan norma masyarakat serta tidak menimbulkan sensitiviti agama.

“Namun, bagi mengelakkan perkara sama berulang, saya berpandangan kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling yang lebih tegas dan jelas bahawa majlis rasmi kerajaan wajib dilarang daripada menghidangkan arak, tanpa mengira siapa penganjurnya,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan yang tular baru-baru ini melibatkan sebuah program disertai Kementerian Pelancongan.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, tindakan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar polisi, norma dan amalan kerajaan yang telah lama dipraktikkan.

"Sejak sekian lama, kerajaan Malaysia tanpa mengira parti yang memerintah mengamalkan dasar untuk tidak membawa atau menghidangkan arak dalam majlis rasmi yang dihadiri pegawai kerajaan.

"Polisi ini dihormati sebagai tanda penghormatan kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan demi menjaga sensitiviti majoriti rakyat Malaysia yang menolak budaya itu tanpa mengetepikan hak minoriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Hisham turut menegaskan bahawa kementerian dan menteri yang bertanggungjawab perlu peka dan maklum dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati di peringkat dunia.

“Tindakan ini telah merosakkan imej negara yang sepatutnya menjadi contoh dalam memelihara nilai-nilai murni,” katanya.

Sehubungan itu, PPMM mendesak Kementerian Pelancongan dan semua kementerian lain untuk kembali kepada dasar asal selain menyeru agar panduan yang lebih jelas dikeluarkan serta menggesa menteri terlibat meletakkan jawatan kerana gagal menunjukkan kebertanggungjawaban dalam hal ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Dua wakil rakyat PKR menggesa kerajaan untuk menetapkan keperluan pekeliling baharu bagi memastikan pematuhan etika di majlis rasmi termasuk larangan penghidangan arak
  • Langkah tersebut penting untuk mengelak kekeliruan dan menghormati nilai masyarakat majmuk berteraskan Islam
  • Perdana Menteri mengingatkan agar kesilapan penghidangan arak di majlis kerajaan tidak berulang dan dasar kerajaan yang melarangnya
  • Tular gambar menunjukkan minuman keras dihidangkan pada majlis yang dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
  • Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menyuarakan bantahan dan mendesak pihak berkenaan kembali kepada dasar asal serta mengeluarkan panduan yang lebih jelas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!