Isu hidang arak: MOTAC ambil iktibar, perketat pematuhan SOP acara

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited memperketat pemantauan serta memastikan setiap penganjuran program dan acara di bawah seliaannya mematuhi sepenuhnya garis panduan serta etika yang ditetapkan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MOTAC menzahirkan rasa kesal terhadap kekeliruan yang timbul susulan penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini, selain mengambil maklum teguran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kementerian dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“MOTAC mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” menurut kenyataan itu.
MOTAC turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian berikrar untuk memperkukuh komunikasi serta melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan lebih berhemah dan berkesan demi kepentingan rakyat serta negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Beliau berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
Ringkasan AI
- MOTAC berkomitmen memperketat pemantauan dan mematuhi sepenuhnya garis panduan serta etika
- Kementerian merasa kesal akibat kekeliruan dari penganjuran majlis makan malam yang tular
- Menerima teguran dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Berazam mengambil iktibar dan mencegah kejadian serupa berulang
- Berikrar memperkukuh komunikasi dan melakukan penambahbaikan demi kepentingan rakyat serta negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

