JPJ laksana 7,228 audit keselamatan ke atas kenderaan komersial seluruh negara

Anthony Loke. Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Anthony Loke. Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan sebanyak 7,228 audit keselamatan ke atas pengendali kenderaan komersial di seluruh negara sehingga 30 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan audit tersebut merupakan langkah berterusan bagi memastikan tahap pematuhan industri terhadap piawaian keselamatan terus dipertingkat, sekali gus menyokong usaha kementeriannya mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat secara signifikan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, audit tersebut dijalankan di bawah program JPJ Inspection & Safety Audit (JISA) bagi menilai tahap pematuhan syarikat terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkaitan aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.

“Audit JISA menilai lima komponen utama iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod, dan pengurusan risiko,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH–Mas Gading) mengenai tindakan menyeluruh yang dilaksanakan JPJ dalam audit keselamatan ke atas pengusaha kenderaan komersial, termasuk perancangan dan jadual audit terhadap kira-kira 300,000 syarikat serta pelan pendigitalan proses audit keselamatan.

Anthony menjelaskan, setiap pengendali kenderaan diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori di bawah ICOP termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan Sistem Kedudukan Global (GPS), pematuhan masa pemanduan dan rehat, penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) serta penyediaan nombor hotline syarikat bagi tujuan aduan awam.

Mengenai jumlah syarikat yang diaudit, beliau berkata, setakat 30 April lalu, sebanyak 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan telah berdaftar di bawah JPJ, bukannya 300,000 seperti dinyatakan dalam pertanyaan.

“Angka 300,000 itu mungkin berpunca daripada kekeliruan antara jumlah syarikat dengan jumlah keseluruhan 372,586 kenderaan perdagangan berlesen (bas dan lori) di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” ujarnya.

Menurut Anthony, JPJ juga sedang melaksanakan pelan pendigitalan proses audit keselamatan melalui pembangunan sistem digital JISA yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Artikel Berkaitan:

“Melalui pelaksanaan sistem ini, data daripada peranti GPS akan diintegrasikan terus ke dalam pangkalan data JISA bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata, termasuk aktiviti seperti pemanduan melebihi had kelajuan, penyimpangan laluan dan operasi di luar waktu yang dibenarkan.

“Langkah pendigitalan ini dijangka dapat mempercepatkan pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani melalui Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • JPJ telah melaksanakan 7,228 audit keselamatan kenderaan komersial di seluruh negara
  • Pelaksanaan audit bertujuan untuk meningkatkan pematuhan industri terhadap piawaian keselamatan
  • Audit JISA menilai lima komponen utama termasuk pengurusan keselamatan dan pengurusan pemandu
  • Setakat 30 April, 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan telah berdaftar dengan JPJ
  • JPJ sedang melaksanakan pelan pendigitalan proses audit keselamatan yang dijangka siap pada tahun 2027

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!