[VIDEO] FFC: Empat dron berlegar atas kapal Conscience
SERDANG - Kira-kira empat dron dilapor berlegar di atas Kapal Conscience yang mengetuai armada Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) ke Gaza pada malam Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kejadian tersebut berlaku ketika kapal yang membawa lapan rakyat Malaysia itu berada di kedudukan kurang 250 batu nautika dari Gaza.

"Selaku ketua delegasi Malaysia di atas Kapal Conscience, Profesor Dr Alaudian (Mohd Ali) melaporkan empat buah dron berlegar di atas kapal, namun tidak pasti status dron tersebut.
"Itu strategi biasa untuk intimidasi dan mendesak supaya mereka patah semangat.
"Setakat jam 2.20 pagi (Isnin) waktu Malaysia, jarak kapal Conscience ke Gaza kurang dari 240 batu nautika dan pihak MyCARE menganggarkan mereka akan memasuki zon kuning kurang tempoh 24 jam," katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini pada Isnin.
Sembilan wakil Malaysia dalam misi FFC ialah Ketua Delegasi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; empat doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan Dr Maziah Muhammad; dua pensyarah, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Dalam pada itu Kamarul Zaman memaklumkan, Kapal Conscience mengatur strategi memperlahankan pelayaran bagi menunggu lapan kapal layar lain termasuk Umm Saad yang membawa seorang delegasi Malaysia menuju ke zon kuning.
"Delegasi Malaysia di atas kapal juga membuat siaran langsung bersama pihak hospital Al-Awda di Gaza dan melaporkan situasi di klinik yang sangat kekurangan peralatan bekalan perubatan.
"Mereka terpaksa guna kaedah konvensional dalam merawat pesakit selain menggunakan kreativiti untuk ubahsuai peralatan perubatan sedia ada," jelasnya.
Ringkasan AI
- Empat dron dilapor berlegar di atas Kapal Conscience yang menuju ke Gaza
- Kapal yang membawa lapan rakyat Malaysia berada kurang dari 250 batu nautika dari Gaza
- Ketua delegasi Malaysia, Profesor Dr Alaudian melaporkan kehadiran dron sebagai strategi intimidasi
- Jarak Kapal Conscience ke Gaza kurang dari 240 batu nautika dan dianggarkan memasuki zon kuning kurang 24 jam
- Kapal Conscience menunggu lapan kapal lain dan berkomunikasi dengan pihak hospital Al-Awda di Gaza mengenai kekurangan bekalan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

