Kekurangan dana paksa UNHCR buang 5,000 pekerja seluruh dunia

GENEVA - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberhentikan hampir 5,000 pekerja di seluruh dunia tahun ini berikutan penurunan mendadak komitmen pembiayaan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi berkata, jumlah itu mewakili kira-kira satu perempat daripada keseluruhan tenaga kerja UNHCR yang kini hilang pekerjaan.
Setakat Jun 2024, UNHCR mempunyai kira-kira 15,400 kakitangan tetap dan 4,400 pekerja lain di lebih 130 negara, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 20,000 orang.
Langkah pengurangan terbabit selaras dengan keadaan kewangan semasa agensi berkenaan.
UNHCR dijangka beroperasi dengan dana sekitar AS$3.9 bilion menjelang akhir tahun, mencatatkan pengurangan hampir satu perempat berbanding peruntukan tahun sebelumnya.
Akibat kekangan kewangan itu, beberapa aktiviti UNHCR telah dihentikan, termasuk program bantuan kepada mangsa penyeksaan.
Beberapa sekolah pelarian terpaksa ditutup, manakala bantuan makanan dan kewangan kepada pelarian turut dipotong.
Grandi tidak mengulas secara langsung mengenai pengurangan besar dalam dana bantuan dari Amerika Syarikat yang turut memberi kesan besar kepada operasi UNHCR.
Namun beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perdebatan semasa di Eropah serta amalan penghantaran pulang pelarian oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, yang menurutnya tidak sejajar dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Grandi, kebanyakan daripada 122 juta pelarian dan individu yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia bukan berada di Amerika Utara atau Eropah, tetapi di negara-negara berpendapatan rendah yang menampung beban pelarian global. - Bernama
Ringkasan AI
- UNHCR memberhentikan hampir 5,000 pekerja global akibat penurunan pembiayaan
- Kekurangan dana menyebabkan pengurangan aktiviti, termasuk bantuan kepada mangsa penyeksaan
- Sekolah pelarian ditutup dan bantuan makanan serta kewangan dipotong
- Operasi UNHCR dijangka berjalan dengan dana AS$3.9 bilion, kurang hampir satu perempat dari tahun sebelumnya
- Grandi mengkritik amalan penghantaran pulang pelarian yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
