Pendirian Malaysia terhadap pelan damai AS, persediaan TMM2026 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan Trump berhubung konflik Palestin-Israel menjadi tumpuan utama pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto hiasan
Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan Trump berhubung konflik Palestin-Israel menjadi tumpuan utama pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung konflik Palestin-Israel menjadi tumpuan utama pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, soalan itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri yang akan dibangkitkan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kepada Perdana Menteri.

Beliau juga ingin mengetahui sejauh mana pelan itu selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara berkenaan.

Pada sesi sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengajukan soalan kepada Perdana Menteri berhubung tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 khususnya dari segi promosi antarabangsa serta penglibatan kerajaan negeri.

Ahli Parlimen itu turut membangkitkan mengenai perbelanjaan yang dibuat berasaskan prinsip ‘nilai untuk wang’ dan adakah kerajaan akan diadakan satu pelancaran besar-besaran pada 31 Disember 2025 seperti amalan sebelum ini.

Pada sesi soal jawab pula, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai tindakan menyeluruh terhadap audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melibatkan pengusaha kenderaan komersial.

Beliau mahukan perincian berkenaan perancangan dan jadual audit ke atas kira-kira 300,000 syarikat serta jumlah yang telah diaudit dan pelan pendigitalan proses audit keselamatan bagi mempercepat pengesanan ketidakpatuhan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Sementara itu, Datuk Sri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan faktor kelemahan penguatkuasaan sehingga Malaysia dilihat menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa termasuk kes terbaharu melibatkan lebih 400 orang yang ditahan di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) pula bertanyakan kepada Menteri Kesihatan sama ada kementerian itu bersedia untuk memasukkan semula nikotin ke dalam senarai bahan Racun Negara susulan bahan itu terkandung dalam vape.

Artikel Berkaitan:

Selepas sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 dan RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kuala Lumpur menaruh perhatian kepada pendirian Malaysia mengenai pelan damai konflik Palestin-Israel yang dikemukakan oleh Presiden AS, Donald Trump dalam persidangan Dewan Rakyat
  • Soalan berkaitan dengan pelan damai itu akan dibangkitkan kepada Perdana Menteri untuk menilai keselarasan dengan usaha Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin
  • Pertanyaan lain termasuk tahap persediaan kerajaan berhubung Tahun Melawat Malaysia 2026, terutamanya dari aspek promosi dan penglibatan kerajaan negeri
  • Ahli Parlimen juga menyoal tentang audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan dan tindakan terhadap pengusaha kenderaan komersial
  • Perbincangan juga meliputi kelemahan penguatkuasaan yang membuat Malaysia menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!