'Jangan lebih Hamas dari Hamas' - Timbalan Menteri Luar tegur Wan Ahmad Fayhsal

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad agar jangan bersikap ‘lebih Hamas dari Hamas’ susulan kritikan kerasnya terhadap pendirian Malaysia menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia.

Ia susulan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal bahawa tidak pernah ada Presiden Amerika yang mampu menghentikan keganasan Israel ke atas Gaza dan mempersoalkan ‘maslahat’ atau manfaat sehingga Wisma Putra sanggup berkompromi.

“Hamas menyambut baik Pelan 20 (cadangan Pelan Damai Gaza) yang diberikan oleh Donald Trump. Jadi, kenapa kita tak bantu, tak sokong pendirian ini? Janganlah kita hanya cakap, jadi lebih Hamas daripada Hamas ni, kenapa?

“Kita (sepatutnya) bantu, sokong. Kita ingin mencapai perdamaian di Palestin. Jadi kalau Donald Trump ada ‘blue print’, kita ikuti. Secara objektifnya sebagai ASEAN, jangan kita terlalu memikirkan soal sebegini.

“Kita ambil tahu apa yang berlaku di Palestin. Malaysia dengan Amerika Syarikat juga adalah rakan dagangan yang besar.

"Amerika juga sebagai satu negara yang memberi pelaburan yang terbesar kepada Malaysia dan ASEAN ini, kita kena lihat daripada aspek masa depan ekonomi juga,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad memberitahu bahawa Malaysia menyambut baik Pelan 20 yang dikemukakan Trump, bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang pendirian negara berhubung Pelan 20 itu.

“Apa yang kita dapat lihat dan manfaat yang besar, kesannya ialah arahan Donald Trump untuk menghentikan serangan serta-merta pengeboman Israel terhadap Gaza.

“Apabila ada Pelan 20 ini, kita akan menyaksikan.. mudah-mudahan pemberhentian pengeboman, genosid, kemudiannya pemberhentian kemusnahan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang paling penting adalah ia akan membuka ruang kepada masyarakat dunia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa perkara yang perlu dilihat dalam pelan itu, termasuk kebimbangan Malaysia dan beberapa negara bahawa ada kelompangan dalam pelan berkenaan.

“Kita ingin perdamaian dan pengunduran secara penuh oleh Israel daripada Gaza itu.

"Kita mahu dan penentuannya ditentukan oleh rakyat Palestin. Jadi, ini antara perkara yang tidak disebut secara jelas dalam pelan Donald Trump itu.

“Kedua, tentang lawatan Donald Trump ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak. Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia sebenarnya berkewajipan menjemput semua rakan dialog ASEAN.

“Kita bertindak sebagai Pengerusi ASEAN, bukan sebagai negara Malaysia. Kita menjemput bukan secara bilateral biasa-biasa tapi berdasarkan kita sebagai Pengerusi ASEAN dan kita berkewajipan untuk menjemput semua rakan dialog ASEAN untuk hadir dan yang paling penting tanpa terkecuali, selaras dengan prinsip ‘neutrality’ dan ‘centrality’ ASEAN,” jelasnya.

Tambah Mohamad, Malaysia juga akan mengambil kesempatan dengan hadiran Trump di Kuala Lumpur untuk menyuarakan kegusaran, pandangan dan mengharapkan kerjasama dimantapkan antara Malaysia, ASEAN serta Amerika untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

 

 

Ringkasan AI

  • Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menegur Ahli Parlimen Machang berkenaan kritikan terhadap pendirian Malaysia menjemput Donald Trump ke Malaysia
  • Hamas menyambut baik Pelan 20 yang diberikan oleh Donald Trump untuk mencapai perdamaian di Palestin
  • Malaysia menyambut baik Pelan 20 yang dikemukakan Trump yang bertujuan menghentikan serangan Israel terhadap Gaza serta membuka ruang untuk bantuan kemanusiaan
  • Walaupun menyokong pelan tersebut, Malaysia mempunyai kebimbangan tentang beberapa kelompangan dalam Pelan 20, termasuk keinginan untuk pengunduran penuh Israel dari Gaza
  • Malaysia menjemput Trump sebagai tindakan sebagai Pengerusi ASEAN bukan berdasarkan hubungan bilateral, dan bertujuan menyuarakan kegusaran serta pandangan tentang pembentukan negara Palestin yang merdeka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!