Muhyiddin disaran ambil alih jawatan Ketua Pembangkang - Penganalisis

Dari kiri:Muhyiddin, Hamzah dan Azmin.
Dari kiri:Muhyiddin, Hamzah dan Azmin.
A
A
A

ALOR SETAR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran keluar daripada zon selesa dan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang bagi menyelamatkan parti itu serta memperkukuh blok Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah itu perlu dilakukan segera memandangkan Bersatu kini berdepan kemelut kepimpinan dalaman dan kehilangan arah selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025.

Menurut beliau, Muhyiddin yang juga arkitek sebenar penubuhan Bersatu perlu tampil mengemudi semula parti yang dibinanya sendiri, selepas beberapa tahun memilih untuk berperanan sebagai elder statesman yang hanya memberi pandangan dari belakang.

“Inilah masanya untuk Muhyiddin keluar dari zon selesa dan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang daripada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Langkah ini sepatutnya dibuat sejak lama demi masa depan parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zaharuddin berkata, PAT 2025 mendedahkan kelemahan yang selama ini disembunyikan, apabila sesi perbahasan yang sepatutnya membina bertukar menjadi medan pertembungan ego antara pemimpin.

“Keadaan itu lebih membimbangkan apabila tiada sesiapa dalam parti berani mempersoalkan ketiadaan Muhyiddin di barisan hadapan, khususnya di Parlimen.

“Hamzah memang berpengalaman, tetapi beliau tidak mempunyai graviti politik yang diperlukan untuk menyatukan parti atau menarik keyakinan rakyat. Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang suatu ketika dahulu dianggap kingmaker kini semakin tidak relevan,” ujarnya.

Menurut beliau, kemampuan Hamzah semakin diragui apabila suaranya mudah ditenggelamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Berhadapan dengan Anwar memerlukan karisma, pengalaman eksekutif dan kredibiliti tinggi. Ini bukan soal kemampuan peribadi semata-mata, tetapi liga politik yang berbeza,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya Muhyiddin terus menolak memegang jawatan Ketua Pembangkang, Bersatu dan PN akan dilihat tidak serius untuk menjadi kerajaan alternatif.

Ringkasan AI

  • Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran menjadi Ketua Pembangkang untuk menyelamatkan Bersatu dan memperkukuh Perikatan Nasional
  • Bersatu berdepan kemelut kepimpinan dan kehilangan arah selepas Perhimpunan Agung Tahunan 2025
  • Muhyiddin harus tampil mengemudi Bersatu, berbanding peranannya sebagai elder statesman sebelum ini
  • PAT 2025 mendedahkan kelemuhan dalam Bersatu, termasuk pertembungan ego antara pemimpin
  • Kemampuan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang diragui, berbanding dengan karisma dan pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!