Kekal atau tukar Ketua Pembangkang Perak?

PASCA Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 baru-baru ini menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria tidak lagi dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Perubahan mengejutkan itu memberi gambaran bahawa parti itu mahu pembaharuan kepimpinan di Perak selepas Razman menyandang jawatan berkenaan sejak tahun 2013.
Tugas itu kini dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen Bagan Serai yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Menyingkap sejarah politik di Perak, tempoh 13 tahun yang dilalui Razman cukup panjang menyaksikan pelbagai perubahan bermula terbentuknya serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) sehinggalah dalam tampuk kepimpinan kerajaan negeri Perak.
Razman menjadi saksi bahawa Pas berperanan dalam kerajaan negeri Perak di bawah dua Menteri Besar yang berbeza iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ketika Menteri Besar Perak berubah pada tahun 2020 dari Ahmad Faizal kepada Saarani, Razman kekal memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Malah perubahan politik ketika itu menguntungkan Pas apabila mereka mampu bertahan menjadi kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selepas PRU15, Pas hampir mengetuai kerajaan di Perak apabila Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Pas mendapat 17 kerusi manakala selebihnya milik Parti Bersatu. Hanya memerlukan sokongan empat ADUN untuk majoriti mudah membentuk kerajaan.
Namun Barisan Nasional (BN) memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) yang lebih menguntungkan berbanding PN.
Disebabkan itu, PN menjadi pembangkang di Perak dan Razman mengetuai barisan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kelantangan Yang Dipertua Pas Kawasan Lenggong itu ketika Sidang DUN sering menjadi sasaran wakil kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri.
Pada April lalu, beliau digantung selama enam bulan dari pada menghadiri persidangan DUN selepas dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.
Belum pun tamat tempoh penggantungan, Razman diumum bukan lagi Pesuruhjaya Pas Perak dan ia memberi gambaran kemungkinan jawatan Ketua Pembangkang DUN Perak mungkin bertukar.
Jika ini berlaku, PN perlu memilih mana-mana ADUN pembangkang untuk menggantikan Razman ke jawatan itu.
Persoalannya, adakah pemilihan ketua pembangkang berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi parti atau mengikut pengalaman atau tempoh ADUN berkhidmat?
Pelantikan Razman sebagai ketua pembangkang sebelum ini dibuat secara konsensus ADUN-ADUN PN berdasarkan jumlah kerusi dimenangi Pas.
Jika tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat menjadi pilihan, sudah tentu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi daripada Bersatu lebih layak kerana sejak PRU12 lagi memenangi kerusi tersebut.
Menjadi pembangkang ketika era Kerajaan Madani bukan mudah kerana barisan kepimpinan dalam kerajaan terdiri daripada wakil rakyat berpengalaman.
Maka, PN harus memilih sama ada mahu mengekalkan Razman atau menggantikan dengan ADUN yang lebih matang untuk melontarkan kritikan.
Di pihak Pas, mereka mempunyai beberapa pilihan, antaranya ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahya merupakan bekas Timbalan Speaker DUN Perak.
Bagi Bersatu, Zainol Fadzi merupakan pilihan terbaik kerana beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri namun jika jawatan parti di peringkat negeri jadi sandaran, mungkin ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi menjadi pilihan kerana memegang jawatan Setiausaha Bersatu Perak.
Pemilihan ketua pembangkang yang berketerampilan amat penting kerana beliau merupakan bayang Menteri Besar Perak akan datang kerana beberapa ketua pembangkang sebelum ini telah memimpin kerajaan.
Isu peribadi mahupun masalah dalaman parti harus diketepikan dalam memilih pemimpin yang boleh mengetuai pembangkang seterusnya mendatangkan kegerunan kepada kerajaan.
Rakyat mahu melihat siapa yang akan mereka pilih untuk membawa suara mereka ke dalam DUN menjelang PRU16.
DUN Perak juga memerlukan pembangkang berkualiti dalam melontarkan hujah serta idea bagi menggubal undang-undang, bukan ADUN yang syok sendiri membahaskan isu remeh.
*Saifullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

