Misi Global Sumud Flotilla: Semua kapal dipintas Israel

BAITULMAQDIS – Tentera Israel bertindak menahan keseluruhan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang cuba memecah kepungan di Gaza, sekali gus menahan ratusan aktivis daripada puluhan kapal, lapor Al-Jazeera.
Rakaman siaran langsung menunjukkan anggota tentera Israel memaksa masuk ke atas kapal terakhir, Marinette, pada pagi Jumaat.
Kapal layar berbendera Poland itu yang dilaporkan mempunyai enam kru merupakan bot terakhir dalam GSF iaitu 44 kapal yang akhirnya ditahan Israel.
Bercakap menerusi panggilan video bersama penganjur flotilla lewat Khamis, kapten kapal dari Australia yang hanya dikenali sebagai Cameron menjelaskan bot itu mengalami masalah enjin sejak awal menyebabkan ia tertinggal di belakang kumpulan utama.
Beliau menegaskan kapal berkenaan tetap menuju ke arah Gaza bersama kru yang terdiri daripada sukarelawan termasuk warga Turkiye dan seorang wanita dari Oman.
Siaran langsung menunjukkan kru mengemudi kapal itu ketika matahari terbit di perairan antarabangsa Laut Mediterranean.
Penjejak kedudukan kapal pula mengesahkan ia berada kira-kira 43 batu nautika (80kilometer) dari perairan Gaza sebelum ditahan.
Sebelum ini, Kementerian Luar Israel memberi amaran Marinette tidak akan dibenarkan menembusi “zon perang aktif” dan sekatan laut yang dikuatkuasakan.
Sejak Rabu lalu, tentera laut Israel sudah menghentikan puluhan kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menahan kira-kira 500 aktivis dari lebih 40 negara.
Israel menuduh sukarelawan berkenaan cuba “melanggar sekatan sah” iaitu dakwaan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan menegaskan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghalang mereka.
Setiap bot yang dipintas telah diiring masuk ke Israel dan kru ditahan sebelum bakal dihantar pulang.
Antara tokoh terkenal yang ditahan ialah aktivis Greta Thunberg; bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, serta Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan.
Misi flotila kali ini dianggap paling besar pernah diusahakan bagi menghantar bekalan kemanusiaan ke Gaza, dan penahanan itu mencetuskan kecaman global serta protes di pelbagai negara. - Agensi
Ringkasan AI
- Tentera Israel menahan keseluruhan kapal Global Sumud Flotilla yang cuba memecah kepungan di Gaza
- Rakaman siaran langsung menunjukkan anggota tentera Israel memaksa masuk ke atas kapal Marinette
- Marinette, kapal layar berbendera Poland dengan enam kru, adalah bot terakhir dari 44 kapal GSF yang ditahan
- Kira-kira 500 aktivis dari lebih 40 negara ditahan oleh tentera laut Israel sejak Rabu lalu
- Misi flotila ini dianggap paling besar pernah diusahakan untuk menghantar bekalan kemanusiaan ke Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
