Arak, hikmah dan pendidikan moral: Refleksi negara rahmah

ISU arak dalam majlis rasmi Kementerian Pelancongan baru-baru ini multi dimensi. Tidak hanya tentang isu minuman keras, tetapi tentang nilai, tanggungjawab, dan sensitiviti masyarakat.
Ia membuka ruang untuk kita menilai bagaimana pemerintah dan rakyat berinteraksi dalam menjaga maruah budaya dan agama, serta memelihara keharmonian sosial yang menjadi teras Malaysia Madani dan Negara Rahmah.
Sejarah menunjukkan bahawa sebelum 1974, arak pernah dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan dan Parlimen.
Namun selepas Pas menyertai Barisan Nasional, pimpinan Pas menyuarakan keberatan terhadap hidangan arak, dan Tun Abdul Razak bersetuju agar arak tidak lagi dihidangkan.
Keputusan ini bukan semata-mata soal simbol, tetapi tindakan berhikmah yang menghormati sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia, serta menjadi sebahagian daripada proses akulturasi nilai budaya dan agama dalam pentadbiran kerajaan.
Kini, apabila arak muncul semula dalam majlis rasmi, ia bukan tanda kemodenan atau 'diversity', tetapi mencerminkan kemunduran akar agama dan budaya yang telah lama dijaga.
Ia juga mengingatkan kita bahawa setiap keputusan pemerintah perlu dilihat dari perspektif hikmah dan kesejahteraan rakyat, bukan menggunakannya sebagai peluang politik atau tuntutan protokol.
Dalam konteks Malaysia Madani dan Negara Rahmah, pemerintah bukan sekadar pentadbir, tetapi penjaga adab awam dan kesejahteraan moral rakyat (Surah al-Hajj: 41).
Larangan arak di majlis rasmi menjadi contoh bagaimana prinsip syariah boleh dipatuhi secara bijak di ruang awam, tanpa menimbulkan konflik, dan memberi teladan kepada masyarakat tentang kepentingan etika dan batasan moral.
Ia juga menunjukkan bahawa tindakan yang konsisten dalam menjaga nilai moral di ruang rasmi membantu menanam rasa hormat terhadap hukum dan budaya masyarakat.
Tentang Realiti dan Hikmah.
Kita juga perlu 'realist'. Malaysia memberi ruang luas untuk amalan Islam individu, namun sistem negara masih berdasarkan Perlembagaan sekular yang menyebut Islam sebagai 'religion', bukan Ad-Deen, dan undang-undang tertinggi negara tidak merujuk terus pada al-Quran.
Banyak perkara yang haram di sisi Islam menjadi kebiasaan dalam sistem, riba contohnya. Oleh itu, dakwah dan pendidikan moral perlu dilakukan dengan hikmah dan hujah rasional, termasuk kepada sahabat bukan Islam yang juga menghormati nilai moral.
Fenomena “Whataboutism”, Cabaran wacana moden ialah budaya “Whataboutism”, apabila kesalahan ditegur, orang lain akan membalas dengan membandingkan isu lain: “Oh, minum arak tak boleh ya, tapi rasuah boleh pula?”
Dalam Islam, dua kesalahan tidak saling menafikan. Rasuah tetap dosa, arak tetap haram. Menentang satu tidak bermakna menghalalkan yang lain.
Kesedaran ini penting untuk membina masyarakat berprinsip yang menolak semua bentuk kemungkaran secara konsisten.
Isu ini juga mengajar kita tentang sensitiviti terhadap nilai syariah dan pendidikan moral.
Tidak semua yang haram perlu ditunjukkan dengan kemarahan, tetapi boleh dijadikan pintu masuk awal perbincangan untuk mendidik secara hikmah, mengajak masyarakat memahami sebab di sebalik peraturan, bukan hanya mengikut simbol dan retorik semata-mata.
Pendidikan moral yang konsisten membantu membina masyarakat matang yang memahami keseimbangan antara agama, budaya, dan tanggungjawab sosial.
Misalnya, anak muda boleh belajar bahawa menghormati batasan syariah di ruang awam tidak menghalang mereka untuk bersosial secara positif dalam aktiviti lain dengan bangsa lain berlainan agama yang sah dan produktif.
Selain itu, peranan pemerintah sebagai teladan moral tidak boleh dipandang ringan. Apabila pemimpin memelihara nilai syariah dalam apa-apa majllis dan keputusan rasmi, ia bukan sahaja menjaga maruah institusi, tetapi juga membentuk budaya kepatuhan moral yang berterusan dalam masyarakat.
Hikmah di sini ialah tidak hanya melarang, tetapi memberi contoh yang jelas, yang mendidik rakyat memahami maksud dan tujuan larangan tersebut.
Akhirnya, isu arak di majlis rasmi bukan simbol agama sahaja. Ia mengingatkan kita bahawa kepatuhan syariah, hikmah pemerintah, dan pendidikan warga berjalan seiring untuk membentuk masyarakat yang beradab, matang, dan berprinsip.
Dalam Negara Rahmah, nilai moral ditegakkan bukan dengan kemarahan, tetapi melalui teladan, hikmah, dan kesabaran.
“Negara Rahmah tidak dibina atas kemenangan mutlak, tetapi atas kesabaran menegakkan hikmah untuk menegakkan syariah dalam diri, masyarakat dan negara di tengah realiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.”
* Ir Endok Sempo M Tahir merupakan Ahli IKRAM yang juga merupakan ahli DPN (Dewan Perwakilan Nasional)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
