Jaga maruah Islam, hentikan hidangan arak dalam majlis rasmi

ISU arak hangat dibualkan apabila terdapat majlis rasmi yang dikatakan menyajikan minuman beralkohol baru-baru ini.
Kejadian itu bukan sahaja meresahkan umat Islam, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang sejauh mana penganjuran acara rasmi seperti itu mencerminkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan identiti Malaysia sebagai negara majoriti Muslim.
Mengulas perkara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan bertentangan dengan hukum syarak, moral, norma masyarakat dan menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya.
“Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan hab halal dunia, tindakan sebegini hanya mencemarkan imej negara serta menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Tinta Mufti bertajuk Larangan menghidangkan arak dalam majlis rasmi bagi menjaga maruah Islam dan identiti negara yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Ahad.
Sepertimana diketahui ramai, agamawan itu menjelaskan, arak atau khamar merupakan antara isu sensitif yang menjadi tumpuan masyarakat terutama bagi negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam seperti Malaysia.
Malah katanya, pengharaman arak telah ditegaskan secara jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah. Begitu juga larangan penglibatan umat Islam dalam segala urusan berkaitan dengannya.
Ia sebagaimana dijelaskan menerusi firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90)
“Ayat itu jelas menunjukkan bahawa arak termasuk dalam kategori kotor atau keji dan ia merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan.
“Lantaran itu, umat Islam diperintahkan supaya menjauhi arak yang juga membawa maksud suatu bentuk pengharaman yang mutlak,” katanya.

Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW turut melaknat 10 golongan yang terlibat dalam urusan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta agar diperah, orang yang minum, orang yang membawa, orang yang meminta agar dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual, orang yang mengaut keuntungan hasil daripada jualan arak, orang yang membeli dan orang yang dijual kepadanya.
Dalam Mazhab Syafie, Ustaz Ahmad Fauwaz menjelaskan, fuqaha bersepakat bahawa penglibatan Muslim dalam majlis yang mengandungi unsur maksiat seperti menawarkan hidangan arak adalah haram.
“Menurut Imam An-Nawawi, menghadiri sesuatu kemungkaran dan tidak mengingkarinya akan menyebabkan seseorang dianggap reda terhadapnya.
“Beliau menjelaskah lagi bahawa reda terhadap maksiat itu sendiri adalah satu maksiat. Justeru, menjadi haram untuk seseorang kekal duduk di tempat tersebut.
“Andai individu itu tidak mampu mengingkari kemungkaran, maka wajib baginya untuk bangun dan meninggalkan tempat berkenaan,” terangnya panjang lebar.

Begitu juga pandangan Imam Asy-Syirbini yang menegaskan haram bagi umat Islam menghadiri majlis hiburan atau kebatilan yang mengandungi arak atau nyanyian melalaikan.
Keharaman itu, jelas Ustaz Ahmad Fauwaz, ia disepakati secara ijmak kerana ia membesarkan dan mengakui kemungkaran.
Selain aspek hukum, jelas beliau, pengharaman arak menurut syariah turut berkait dengan hikmah menjaga akal manusia agar tidak terjejas fungsi dan maruahnya.
“Walaupun tiada akta Persekutuan yang secara khusus melarang hidangan arak dalam semua majlis kerajaan secara mutlak, namun dasar-dasar negara dan pekeliling sedia ada menggariskan keperluan bagi majlis rasmi kerajaan untuk mematuhi status Malaysia sebagai negara Islam dan majoriti Muslim.
“Antaranya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan yang bermaksud setiap dasar dan pelaksanaan yang melibatkan kerajaan mestilah menghormati prinsip dan nilai Islam sebagai agama rasmi negara.
“Satu lagi adalah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi) yang menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan hendaklah mematuhi tatacara dan etika yang sesuai dengan norma masyarakat serta tidak menimbulkan sensitiviti agama,” katanya.

Justeru, Ustaz Ahmad Fauwaz menasihatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam.
“Ia demi memelihara keharmonian dan perpaduan nasional,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
