Saji arak dalam majlis rasmi kerajaan tidak wajar, bercanggah syariat Islam – Mufti Pahang

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim
A
A
A

KUANTAN - Penyajian arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan adalah tindakan yang tidak wajar dan ia bercanggah dengan syariat Islam serta nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, sekiranya benar wujud majlis kerajaan yang menghidangkan arak, perkara itu amat mengecewakan kerana bertentangan dengan syariat dan pegangan Islam serta konsep Islam Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia.

"Pada hemat saya, penyajian arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima, tidak kira sama ada ia dibiayai menggunakan dana kerajaan mahupun ditaja oleh pihak industri.

"Penganjuran majlis sedemikian pada hakikatnya menyusahkan banyak pihak dan para kakitangan awam Islam yang bertugas terpaksa menguruskan minuman haram," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, walaupun mungkin majlis tersebut bersifat antarabangsa atau melibatkan tetamu bukan Islam, namun kerajaan perlu bijak dalam menjaga sensitiviti agama dan imej sebagai pemerintah di negara majoriti Islam.

Tegasnya, tindakan seperti ini boleh menimbulkan kekecewaan rakyat dan membuka ruang kepada polemik yang merugikan.

Asmadi menambah, muslim yang bertakwa wajib menjauhkan diri daripada menghadiri majlis-majlis seumpama ini apatah lagi jika diadakan dalam negara ini tanpa sebarang keperluan.

"Sebagaimana Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 90 telah memerintakan umatnya supaya menjauhi najis arak ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya,” katanya memetik maksud ayat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menegaskan budaya luar negara tidak boleh dijadikan alasan atau justifikasi dengan isu ini.

Menurutnya, walaupun pemimpin negara dijemput menghadiri mesyuarat atau taklimat di luar negara yang menghidangkan minuman keras, mereka tetap terikat dengan prinsip agama Islam.

Walau dalam apa jua keadaan, Asmadi berkata, pemimpin beragama Islam wajar menolak hidangan tersebut dengan tegas demi memelihara maruah diri serta mematuhi tuntutan agama.

"Saranan saya semua pihak hendaklah sentiasa patuh kepada garis panduan penganjuran majlis rasmi kerajaan yang melarang hidangan minuman keras, agar setiap aspek pelaksanaannya mematuhi nilai, adab dan prinsip yang selaras dengan ajaran Islam.

"Malaysia sebagai negara pelbagai kaum atau majmuk tidak perlu mengorbankan nilai Islam dalam menganjurkan majlis rasmi kerajaan.

"Walau bagaimanapun, hak bukan Islam untuk mengambil minuman keras secara peribadi tetap dihormati, namun perkara ini tidak wajar dijadikan hidangan dalam majlis," katanya.

Ringkasan AI

  • Penyajian arak dalam majlis rasmi kerajaan tidak wajar dan bercanggah dengan syariat Islam
  • Mufti Pahang kecewa jika ada majlis kerajaan yang menghidangkan arak
  • Majlis sedemikian mengundang susah kepada kakitangan Islam dan bertentangan dengan konsep Islam Madani
  • Penyertaan muslim dalam majlis yang menghidangkan arak ditegah, disokong dengan ayat dari Surah Al-Maidah
  • Pemimpin Islam wajar menolak arak dalam majlis, tanpa mengorbankan nilai Islam walaupun dalam majlis antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!