Lebih 20 skim pangsapuri kos rendah di Pulau Pinang terima manfaat PRIHATIN

GEORGE TOWN- Lebih 20 skim perumahan kos rendah di Pulau Pinang bakal menerima manfaat menerusi Program Intervensi Penyelenggaraan Infrastruktur (PRIHATIN) di bawah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Program itu hasil sumbangan RM4 juta daripada PBAPP kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi usaha menaik taraf kemudahan bekalan air di kawasan berpendapatan rendah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen PBAPP dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri mempertingkat sistem retikulasi air dalaman di pangsapuri kos rendah, selaras dengan agenda kebajikan rakyat dan matlamat Visi Penang2030.
“Langkah ini diambil bagi memastikan penduduk pangsapuri kos rendah menikmati bekalan air yang stabil dan mencukupi, seiring dengan peningkatan permintaan air di Pulau Pinang.
"Ia juga mencerminkan semangat kerjasama antara PBAPP, LPNPP serta pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh infrastruktur air negeri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP menambah, sumbangan berjumlah RM4 juta itu merangkumi peruntukan bagi tahun 2024 dan 2025, masing-masing RM2 juta setahun di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PBAPP.
"Dana berkenaan akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program PRIHATIN yang memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf sistem air di kawasan pangsapuri kos rendah seluruh negeri.
"Program itu juga merupakan satu inisiatif bersepadu hasil kerjasama LPNPP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan PBAPP," jelasnya.
Beliau berkata, skop pelaksanaannya meliputi pembaikan dan penggantian tangki serta paip lama selain pembinaan baharu seperti pemasangan tangki air sedutan dan rumah pam, bergantung kepada pemeriksaan teknikal serta kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambahnya, dianggarkan terdapat kira-kira 300 projek perumahan kos rendah di Pulau Pinang khususnya pangsapuri lima tingkat yang dibina tanpa kemudahan tangki sedutan dan sistem pam air.
“Kebanyakan tangki air di atas bumbung pangsapuri ini dibina lebih 15 tahun lalu pada ketinggian sekitar 20 meter atau lebih dari paras tanah.
"Ketika itu, penggunaan air negeri masih di bawah 800 juta liter sehari dan PBAPP masih mampu mengepam air pada tekanan tinggi bagi mengisi semula tangki tersebut,” ujar beliau.
Namun katanya, keadaan kini berbeza apabila penggunaan air meningkat kepada 870 juta liter sehari (MLD) pada tahun 2024, sekali gus memberi cabaran besar kepada PBAPP untuk mengekalkan tekanan air minimum 10 meter head (mH) seperti disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Tekanan air 10 mH meter ini lebih rendah daripada ketinggian tangki di atas bumbung pangsapuri lima tingkat, menyebabkan air tidak sampai sepenuhnya ke tangki berkenaan terutama di kawasan tinggi atau di hujung paip agihan," jelasnya.
Selain kekangan tekanan air, Kon Yeow berkata, beberapa tangki di atas bumbung pangsapuri kos rendah didapati bocor atau tidak berfungsi sepenuhnya menyebabkan ia gagal diisi semula pada waktu malam iaitu ketika penggunaan air rendah.
"Keadaan itu menyebabkan penduduk di beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air berulang terutama ketika waktu puncak permintaan.
“Masalah ini menunjukkan keperluan mendesak agar semua projek bangunan tinggi kediaman atau komersial dilengkapi dengan tangki sedutan dan sistem pam yang mencukupi bagi memastikan aliran air lancar ke tangki utama,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, keputusan Lembaga Pengarah PBAPP pada 16 April 2024 meluluskan sumbangan CSR RM2 juta bagi tahun lalu, diikuti tambahan RM2 juta lagi pada 24 Februari 2025.
"Ia merupakan satu langkah membantu penduduk B40 yang mendiami pangsapuri kos rendah tanpa perbadanan pengurusan.
“Majoriti mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyelenggara sistem air atau infrastruktur bangunan. Oleh itu, bantuan ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata, bantuan berkenaan juga dijangka diteruskan pada tahun-tahun seterusnya bergantung kepada keperluan semasa.
Dalam masa sama Kon Yeow berkata, usaha memperkukuh infrastruktur bekalan air negeri bukan tanggungjawab PBAPP semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk PBT dan agensi berkaitan.
“Dengan adanya program seperti PRIHATIN, kita bukan sahaja mempertingkatkan sistem retikulasi air dalaman di pangsapuri kos rendah tetapi turut memperkukuh agenda Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan sejahtera, selaras dengan Visi Penang2030,” katanya.
Ringkasan AI
- Lebih 20 skim perumahan kos rendah di Pulau Pinang akan mendapat manfaat dari Program Intervensi Penyelenggaraan Infrastruktur (PRIHATIN) dengan sumbangan RM4 juta daripada PBAPP
- Sumbangan itu menunjukkan komitmen PBAPP dalam usaha mempertingkat sistem retikulasi air dalam pangsapuri kos rendah sejajar dengan Visi Penang2030
- Program PRIHATIN adalah inisiatif bersama antara LPNPP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan PBAPP untuk naik taraf sistem bekalan air
- Dana RM4 juta tersebut akan digunakan untuk pembaikan dan naik taraf tangki, paip lama, dan pembinaan baru seperti tangki air sedutan dan rumah pam
- Penggunaan air di Pulau Pinang meningkat, mencipta cabaran untuk PBAPP dalam menyediakan tekanan air minimum yang diperlukan, menyebabkan gangguan bekalan di beberapa kawasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

