Pulau Pinang harap dua projek utama diluluskan dalam Belanjawan 2026

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang berharap sekurang-kurangnya satu atau dua daripada lima projek keutamaan yang disenarai pendek dapat diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah mengemukakan antara 100 hingga 200 projek kepada Pejabat Pembangunan Negeri untuk dibentangkan di peringkat Kementerian Ekonomi.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kerajaan negeri diminta menyenarai pendek kepada 10 projek utama dan baru-baru ini diminta lagi untuk memilih hanya lima projek keutamaan.

"Jadi daripada senarai 100-200 projek yang cadangkan, kita realistik bahawa tidak mungkin kita boleh dapat kelulusan semua (projek).

"Dan kerajaan Persekutuan pun minta kita senarai pendekkan apakah keutamaan kita. Jadi mungkin daripada lima itu, kita harap ada peluang untuk dapat (diluluskan) satu atau dua, bukan semua," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, antara projek keutamaan yang disenaraikan termasuk Lebuhraya Pan Island Link, jalan persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, projek air dari Muka Sauk, Titi Kerawang ke Empangan Teluk Bahang, kompleks kesihatan di Seberang Perai Tengah serta blok bertingkat baharu Hospital Kepala Batas.

Beliau turut menyenaraikan projek naik taraf Kompleks Sukan Bertam, pembinaan Sekolah Kebangsaan Juru, 'underpass' Mount Erskine-Jalan Burmah serta Pelabuhan Tuna Pulau Pinang.

“Kebanyakan projek ini melibatkan pembangunan infrastruktur penting yang diharap dapat memperkukuh kemudahan asas serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Anwar sebelum ini memaklumkan, penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian.

Langkah itu bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang berharap satu atau dua projek keutamaan diluluskan dalam Belanjawan 2026
  • Kerajaan negeri mengemukakan antara 100 hingga 200 projek, namun diminta senarai pendek kepada 10 dan kemudian hanya lima projek keutamaan
  • Antara projek keutamaan termasuk Lebuhraya Pan Island Link dan kompleks kesihatan di Seberang Perai Tengah
  • Kebanyakan projek melibatkan pembangunan infrastruktur penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 dengan fokus kepada keutamaan ekonomi setiap negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!