LKAN dedah 157 projek sakit libatkan 18 kementerian

SHAH ALAM - Sebanyak 157 projek lewat jadual atau dikategorikan 'sakit' melibatkan 18 kementerian dikesan setakat 31 Disember 2024 lalu.
Berdasarkan jumlah tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 46 projek sakit.
Senarai kedua tertinggi yang merekodkan projek sakit ialah Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) 34 projek, diikuti Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 12 dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak 11 projek.
"Empat projek lewat jadual atau sakit dengan peratus kelewatan fizikal melebihi 20 peratus telah mendapat dua hingga 10 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) dengan tempoh EOT sehingga 785 hari," menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan pada Isnin.
Menurut laporan itu lagi, dua daripada empat projek berkenaan di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) di Sabah iaitu pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan, Tawau dan RKAT Pangkalan Udara Labuan.
Dua senarai lain ialah projek Menaik Taraf Galeria Perdana, Langkawi di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan pembinaan Sekolah Baharu 6 Bilik Darjah, asrama, dan rumah guru di Sekolah Kebangsaan Metalun, Belaga, Sarawak di bawah KPM.
"Pada akhir tahun 2024, sebanyak 3,829 projek atau 43.7 peratus berada pada peringkat dalam pelaksanaan; 2,400 projek masih di peringkat pra pelaksanaan; 2,355 projek berada pada peringkat pasca pelaksanaan, manakala 171 projek adalah berstatus batal dan simpan dalam perhatian.
"Prestasi perbelanjaan projek bagi tempoh tahun 2021 hingga 2024 adalah sebanyak RM315.932 bilion melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM307.908 bilion bagi tempoh yang sama.
Jumlah ini telah mencecah 76.1 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415.0 bilion bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selepas Kajian Separuh Penggal RMK12," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 turut mengesyorkan, bagi memastikan pelaksanaan projek RMK12 dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, setiap kementerian atau jabatan perlu mengambil tindakan penyelesaian segera.
Usaha ini katanya, bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.
Ringkasan AI
- Sebanyak 157 projek lewat jadual atau sakit melibatkan 18 kementerian setakat 31 Disember 2024
- Kementerian Pendidikan mencatat bilangan tertinggi projek sakit dengan 46 projek
- Empat projek lewat jadual mendapat dua hingga 10 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa dengan tempoh EOT sehingga 785 hari
- Prestasi perbelanjaan projek bagi tahun 2021 hingga 2024 melebihi peruntukan diluluskan dengan jumlah RM315.932 bilion
- Laporan Ketua Audit Negara mengesyorkan tindakan segera dari setiap kementerian untuk penyelesaian projek RMK12 menjelang akhir tahun 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
