LKAN dedah UKM langgar tatacara tender, lantik 3 syarikat tanpa syor panel penilai

LKAN 2/2025 mendedahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didapati meluluskan pelantikan tiga syarikat bagi projek bernilai RM66.64 juta tanpa mematuhi syor jawatankuasa penilai.
LKAN 2/2025 mendedahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didapati meluluskan pelantikan tiga syarikat bagi projek bernilai RM66.64 juta tanpa mematuhi syor jawatankuasa penilai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didapati meluluskan pelantikan tiga syarikat bagi projek bernilai RM66.64 juta tanpa mematuhi syor jawatankuasa penilai, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai integriti tatakelola perolehannya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Jawatankuasa Perolehan Tender universiti itu telah meluluskan tiga daripada tujuh tender kepada syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Kewangan dan Pra-Tender.

Antara projek yang dikritik adalah pembekalan, penghantaran, pemasangan dan pentauliahan sistem Linear Accelerator (LINAC) serta peralatan sokongan dan kerja ubah suai di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).

“Jawatankuasa Perolehan telah meluluskan tender bernilai RM22 juta kepada Syarikat 0074062-D walaupun Jawatankuasa Penilaian Teknikal tidak menyokong kerana peralatan LINAC yang ditawarkan tidak memenuhi spesifikasi integrasi dengan sistem sedia ada (ARIA),” menurut laporan itu.

Lebih membimbangkan, LKAN mendedahkan sehingga Mesyuarat Penutup Pengauditan pada 17 Januari 2025, mesin LINAC masih belum dibekalkan, meskipun tarikh akhir sepatutnya pada 18 September 2024 atau berlaku kelewatan selama 122 hari.

Selain itu, satu lagi syarikat, Syarikat 0726241-U turut diluluskan walaupun gagal dalam penilaian prestasi kerja semasa untuk lima daripada tujuh projek terdahulu, termasuk satu projek yang diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’.

“Keputusan Jawatankuasa Perolehan untuk tetap meluluskan syarikat ini tanpa justifikasi kukuh menunjukkan kecuaian yang menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit apabila integrasi sistem gagal disiapkan,” tegas laporan itu.

Dedah LKAN lagi, dalam satu lagi tender membabitkan kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif, Jawatankuasa turut memperakukan syarikat yang gagal peringkat penilaian, melanggar perenggan 3.1.4(c) Garis Panduan Perolehan Tender Kerja Besar.

LKAN menegaskan, Naib Canselor UKM selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan bertanggungjawab penuh terhadap pematuhan prinsip 'duty of care' seiring Perlembagaan UKM.

Artikel Berkaitan:

Lebih memburukkan keadaan, wakil Kementerian Kewangan (MOF) tidak dilantik sebagai ahli jawatankuasa, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik pula tidak hadir ke mesyuarat bagi ketiga-tiga tender.

Justeru, LKAN mengesyorkan UKM menambah baik Garis Panduan Perolehan dalaman agar selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan semasa; memantau rapat kemajuan pembekalan LINAC dan penggantian lif dan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang cuai atau melanggar prosedur, tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman KPT.

Dalam laporan yang sama, LKAN turut menegur kelemahan ketara dalam pengurusan kontrak kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan lima jenis aset utama: Gempita, Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV dengan nilai kontrak keseluruhan mencecah RM7.8 bilion (2020–2023).

Antara penemuan utama ialah kelewatan pembekalan 68 unit kenderaan Gempita oleh syarikat tempatan, yang hanya dikenakan penalti RM162.75 juta pada 15 Januari 2025, lebih dua tahun selepas kontrak tamat pada 31 Disember 2022.

“Walaupun syarikat gagal patuh jadual penghantaran, kerajaan tetap membuat bayaran penuh berjumlah RM7.52 bilion. Bon pelaksanaan kontrak sebanyak RM53.93 juta pula dijangka tamat pada 31 Disember 2024, dan tidak mencukupi untuk menampung jumlah penalti,” dedah laporan itu.

LKAN menegaskan kelemahan pentadbiran seperti ini boleh mengundang kerugian kepada kerajaan serta menjejaskan kesiapsiagaan TDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!