Veto: Antara simbol kestabilan dan alat penindasan

Walaupun perubahan Piagam PBB sukar dilakukan kerana memerlukan persetujuan negara pemegang veto sendiri, tekanan global semakin meningkat. Foto fail Bernama
Walaupun perubahan Piagam PBB sukar dilakukan kerana memerlukan persetujuan negara pemegang veto sendiri, tekanan global semakin meningkat. Foto fail Bernama
A
A
A

KUASA veto yang dimiliki lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Rusia dan China semakin dipersoalkan dari sudut kerelevannya dalam dunia moden.

Veto yang asalnya diwujudkan pada 1945 bagi memastikan kuasa besar dunia bersepakat dalam isu keselamatan global, kini sering disalahgunakan sehingga menghalang keputusan penting melibatkan nyawa jutaan manusia.

Sejarah menunjukkan banyak keputusan adil gagal dilaksanakan hanya kerana kuasa veto. Sebagai contoh, pada 1972 Amerika Syarikat (AS) menggunakan veto untuk menolak resolusi yang mengkritik Israel selepas serangan ke atas Lubnan.

Sejak itu Washington telah menggunakan veto lebih 40 kali bagi melindungi Israel daripada tindakan antarabangsa, termasuk yang terbaharu iaitu resolusi menuntut gencatan senjata di Gaza pada September lalu.

Pada 2022 pula, Rusia memveto resolusi Majlis Keselamatan yang mengecam pencerobohannya ke atas Ukraine, sekali gus membuktikan bagaimana veto menjadi benteng untuk menghalalkan tindakan kuasa besar.

Situasi ini menimbulkan persoalan adakah masih wajar sebuah pertubuhan yang mendakwa mewakili semua negara membiarkan suara majoriti dibisukan hanya kerana kepentingan lima kuasa?

Sistem veto yang kononnya menjamin kestabilan sebenarnya mengekalkan ketidakseimbangan kuasa dan membuka ruang pilih kasih.

Masa depan PBB menuntut reformasi lebih berani. Antara cadangan yang sering diketengahkan ialah mengehadkan penggunaan veto hanya untuk isu ancaman perang nuklear atau memerlukan sekurang-kurangnya dua kuasa besar bersetuju sebelum sesuatu resolusi ditolak.

Walaupun perubahan Piagam PBB sukar dilakukan kerana memerlukan persetujuan negara pemegang veto sendiri, tekanan global semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Jika tiada pembaharuan, PBB berisiko terus dilihat sebagai platform retorik tanpa kekuatan sebenar untuk menegakkan keadilan.

Kuasa veto yang dahulu dilihat sebagai mekanisme kestabilan kini semakin menjadi penghalang kepada keamanan dunia.

Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa berani memikirkan semula, sama ada untuk membatalkan atau menstruktur semula kuasa tersebut agar selari dengan aspirasi dunia yang lebih adil dan seimbang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!