Sumud Flotilla: Bila ada 'pembunuh' dari tanah air sendiri

ALHAMDULILLAH, para wira dan wirawati Sumud Flotilla dari Malaysia akhirnya bebas dan kini berada di Istanbul.
Mereka baru sahaja melepasi detik cemas, ditahan kerana misi kemanusiaan ke Palestin.
Tapi lihatlah wajah mereka, tenang, tegar dan masih tersenyum. Dalam diri mereka ada keberanian yang ramai antara kita takkan mampu bayangkan.
Di saat orang lain sibuk menekan butang like dan share di media sosial, mereka memilih untuk belayar dan menentang penindasan secara nyata. Itu bukan kerja mudah. Itu jiwa pejuang.
Tapi sayangnya dari tanah air yang kononnya prihatin, muncul pula barisan pengulas sorak yang berlagak pandai.
Dari bilik berhawa dingin, jari laju menulis: “Mereka cari publisiti”, “Sia-sia pergi sana”, “Buat susah kerajaan saja.”
Komen sinis. Tak ubah macam ejen Zionis yang bertopengkan muka rakyat Malaysia.
Kalau tak tahu perjuangan, lebih baik diam. Kalau penakut, jangan hina orang yang berani. Negara kita takkan maju kalau semangat kepedulian pun nak dikecam.
Mereka bukan pergi melancong. Mereka pergi membawa mesej kemanusiaan. Sementara kita di sini sibuk mengira risiko, mereka di sana menempuh risiko sebenar.
Itu yang membeza mereka dengan keyboard warrior. Mereka ada tindakan tetapi kita hanya ada alasan.
Merak Jalanan cuma nak pesan, kalau tak mampu bantu, jangan jadi batu api. Jangan hina pejuang yang bawa nama Malaysia di medan dunia.
Wira kita tak minta pujian, cukup kalau kita tidak menikam dari belakang. Sebab dalam perjuangan, musuh sebenar bukan selalu datang dari Tel Aviv tetapi kadangkala dia duduk di ruang komen, guna profil palsu dan rasa diri paling betul.
Janganlah jadi pembunuh semangat perjuangan mereka. Kita masih ada lagi wira yang dalam perjalanan ke bumi Gaza. Terus titipkan doa buat mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
