Projek TEDUH: Ruang selamat untuk pemandu p-panggilan berehat

SHAH ALAM - Rancangan kerajaan Selangor dalam Projek TEDUH (Tempat Elok untuk Hentian) yang berfungsi sebagai kawasan rehat yang selamat kepada pemandu p-panggilan melegakan mereka.
Mohd Aizad Fahmi Rizal, 20, yang menyertai syarikat p-panggilan sejak enam bulan lalu percaya TEDUH membuatkannya berasa lebih selamat kerana banyak kenderaan dipandu laju ketika hujan.
"Ini kerana kadang-kadang apabila terpaksa berhenti ketika hujan, kenderaan lain terutama lori laju tidak memikirkan keselamatan orang lain,” katanya ketika ditemui pada 29 September lalu.
Haikal Alias, 29, pula mendedahkan mereka kadang kala terpaksa berteduh hingga 30 minit di kawasan bahaya atau kurang selamat berikutan cuaca panas atau hujan lebat.

“Sebagai individu yang menghabiskan seharian di atas jalan raya, sudah pasti berasa penat dan memerlukan tempat berteduh yang selamat.
“Kadang-kadang kami terpaksa berteduh hingga 30 minit di kawasan bahaya atau kurang selamat, dengan adanya ruangan seperti ini tidak terlalu khuatir,” katanya lagi.
R Vishnu, 31, juga mengakui kekurangan ruang rehat menyukarkan mereka yang menghantar pesanan pada jarak jauh dan bekerja hingga 12 jam terpaksa berteduh di kawasan kurang selamat.

Pada 25 September lalu, Exco Pembudayaan Inovasi, Dr Muhammad Fahmi Ngah mengumumkan Projek TEDUH akan dilaksanakan meliputi lima majlis bandar raya dan perbandaran dalam fasa pertama.
Percaya ramai terlibat nahas akibat kurang rehat, beliau berkata, inisiatif itu hasil kerjasama pihak berkuasa tempatan, syarikat p-panggilan, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Pemandu p-panggilan adalah komuniti penting dalam penjanaan ekonomi negeri Selangor. Projek ini menyediakan ruang rehat yang lebih selamat untuk mereka,” katanya.

TEDUH akan dilengkapi pengecas telefon bimbit, bangku rehat dan tidur, kipas, bekalan air dan elektrik serta kamera litar tertutup demi keselesaan pemandu p-panggilan.
Projek itu antara inisiatif terbaharu selepas pelbagai kemudahan dihulur kepada mereka.
Pada 31 Mei, lebih 9,000 penunggang p-panggilan menerima subsidi wang tunai RM500 melalui program Roda Darul Ehsan (RiDE) sejak 2021 selain Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP).
Pada hari sama, seramai 1,200 peserta turut menerima bantuan Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas B2 kategori motosikal melalui program MyLesen 2025 peringkat negeri.
RiDE turut menawarkan subsidi lesen motosikal B2 sebanyak RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (RM70 setahun).
Ringkasan AI
- Projek TEDUH bertujuan menyediakan kawasan rehat yang selamat untuk pemandu p-panggilan di Selangor
- Pemandu percaya TEDUH dapat meningkatkan keselamatan, terutama ketika cuaca buruk seperti hujan
- Kekurangan ruang rehat selamat menyukarkan pemandu yang bekerja jangka panjang dan pada jarak jauh
- TEDUH dilengkapi dengan kemudahan seperti pengecas telefon, bekalan air dan elektrik, dan kamera keselamatan
- Projek ini adalah sebahagian daripada usaha memperbaiki kebajikan pemandu p-panggilan, termasuk subsidi dan bantuan lesen memandu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
