10 negara tonjol keindahan budaya warisan

Tun Ramli (tengah) bergambar bersama penggiat seni budaya yang membuat persembahan pada perasmian LACF 2025.
Tun Ramli (tengah) bergambar bersama penggiat seni budaya yang membuat persembahan pada perasmian LACF 2025.
A
A
A

GEORGE TOWN - Penganjuran Festival Seni Hidup 2025 (LACF 2025) yang berlangsung selama tiga hari di Lebuh Armenian di sini menjadi medan silang budaya antara 10 buah negara dalam menonjolkan keindahan seni budaya dan warisan masing-masing.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menghimpunkan lebih 27 persembahan seni budaya dari Malaysia, Bulgaria, Thailand, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Sri Lanka, Republik Korea dan Uzbekistan.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, festival berkenaan menjadi platform penting untuk mengekalkan identiti negara di sebalik arus kemodenan.

Persembahan kebudayaan Melayu antara yang menarik perhatian pengunjung pada penganjuran LACF 2025.
Persembahan kebudayaan Melayu antara yang menarik perhatian pengunjung pada penganjuran LACF 2025.

Menurutnya, LACF 2025 mengangkat tema 'Kelangsungan Budaya Warisan' memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu warisan tidak ketara yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan serta kesenian yang memerlukan perhatian.

"Dalam mengejar kemajuan, elemen seni budaya wajar dipertahankan untuk kelangsungan hidup dan juga identiti sebuah negara.

"Penglibatan 10 negara pada kali ini menunjukkan kesungguhan pelbagai pihak dalam memelihara kesenian serta warisan budaya yang hampir pupus daripada ditelan arus globalisasi yang mencabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penggiat seni bergambar bersama sempena LACF 2025.
Penggiat seni bergambar bersama sempena LACF 2025.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian LACF 2025 oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharudin Abu Sohot.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang tiga hari penganjuran LACF 2025.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang tiga hari penganjuran LACF 2025.

Festival edisi keenam itu dianjurkan dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang dan Persatuan Pancha Seniloka Kebangsaan yang turut menampilkan persembahan Makyung, tarian Mayin Jo’oh Pinakang dan Gendang Kantu Batang Rajang.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang tiga hari festival berlangsung antaranya persembahan kesenian, perarakan budaya, pameran dan jualan kraf tangan, pertunjukan tanglung serta 'Budaya Sarapan Malaysia' yang membolehkan pengunjung merasai juadah yang telah diiktiraf UNESCO.

Mohd Amran berkata, bandar raya ini dipilih sebagai lokasi LACF 2025 kerana kedudukannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selain kawasan Lebuh Armenian yang sememangnya terkenal dengan aktiviti seni dan menjadi tumpuan pelancong.

Beliau berharap melalui penganjuran LACF 2025 akan menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap seni warisan, memperkukuhkan perpaduan rakyat dan membina tamadun bangsa yang berdaya saing di persada dunia.

Ringkasan AI

  • Festival Seni Hidup 2025 berlangsung di Lebuh Armenian, George Town selama tiga hari
  • Festival melibatkan 10 negara dengan lebih 27 persembahan seni budaya dan warisan
  • Dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sebagai platform memelihara identiti negara
  • Mengangkat tema 'Kelangsungan Budaya Warisan' dengan fokus pada warisan tidak ketara, warisan kebangsaan dan kesenian memerlukan perhatian
  • Berharap festival meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap seni warisan, perpaduan rakyat dan membina tamadun bangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!