BUDI95: JPJ Sabah kutip RM66,500 dalam tempoh tiga hari kaunter dibuka hujung minggu

Mohd Harris ketika ditemui pemberita pada sesi libat urus bersama media di SICC, Kota Kinabalu.
Mohd Harris ketika ditemui pemberita pada sesi libat urus bersama media di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM66,500 sepanjang tiga hari pembukaan kaunter pada hujung minggu sejak pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan kerajaan.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, sebanyak 20 pejabat JPJ di seluruh negeri telah dibuka pada hujung minggu, bermula 27 hingga 28 September dan 4 Oktober lalu.

“Jumlah pelanggan yang hadir ialah seramai 1,605 orang dengan 1,885 urus niaga direkodkan dan jumlah kutipan sebanyak RM66,500.50. Inisiatif BUDI95 merupakan usaha kerajaan membantu golongan yang layak melalui pemberian subsidi bersasar, termasuk manfaat berkaitan bahan api RON95.

“Antara syarat utama untuk melayakkan individu menerima bantuan ini ialah memiliki lesen memandu yang sah dan aktif,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan JPJ amat penting dalam membantu mengaktifkan semula lesen memandu yang telah tamat tempoh, atau memudahkan individu yang belum memiliki lesen untuk mendapatkannya.

“Sebagai menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan BUDI95, JPJ Sabah telah mengambil langkah proaktif dengan membuka kaunter perkhidmatan setiap hujung minggu sepanjang Oktober ini.

“Langkah ini bertujuan memudahkan orang ramai, khususnya penduduk luar bandar dan mereka yang bekerja pada hari biasa, untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ.

“Selain itu, inisiatif ini juga memberi peluang kepada individu untuk mengaktifkan semula lesen memandu sebelum memohon bantuan BUDI95, di samping menyampaikan maklumat dan penerangan berhubung syarat-syarat kelayakan bantuan secara terus kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program MyLesen Madani B2, Mohd Harris memaklumkan bahawa JPJ Sabah terus memperkasa agenda keselamatan jalan raya dan kesejahteraan rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi impak langsung kepada belia, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pelajar sekolah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Melalui program tersebut, JPJ Sabah telah membantu seramai 1,850 peserta terdiri daripada belia, pelajar IPTA dan pelajar sekolah mendapatkan lesen motosikal B2 secara percuma pada tahun ini.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan golongan sasaran, malah memupuk kesedaran tinggi terhadap kepatuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda.

“Dengan komitmen kewangan sebanyak RM647,500 yang disalurkan kerajaan Persekutuan, program ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membudayakan nilai keselamatan, tanggungjawab dan kesejahteraan rakyat, seiring aspirasi Malaysia Madani.

“JPJ Sabah percaya inisiatif seperti ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat celik peraturan, berdisiplin di jalan raya serta menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan motosikal yang tinggi melibatkan golongan belia,” ujarnya

Ringkasan AI

  • JPJ Sabah berjaya mengutip RM66,500 sepanjang tiga hari pembukaan kaunter hujung minggu untuk inisiatif BUDI95
  • 20 pejabat JPJ di seluruh Sabah dibuka untuk pelaksanaan inisiatif ini
  • Seramai 1,605 orang hadir dengan 1,885 urus niaga direkodkan
  • Inisiatif BUDI95 membantu golongan layak dengan subsidi bersasar termasuk bahan api RON95
  • Program MyLesen Madani B2 membantu 1,850 individu mendapatkan lesen motosikal B2 secara percuma

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!