Cubaan sindiket warga Sri Lanka guna budak 10 tahun dapatkan pasport Malaysia gagal

KUALA LUMPUR - Cubaan sindiket warga Sri Lanka mendapatkan pasport Malaysia menggunakan kanak-kanak berusia 10 tahun di Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral di sini terbongkar pada Rabu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kanak-kanak itu dikesan hadir bersama seorang wanita disyaki menyamar sebagai ibunya kira-kira jam 10.15 pagi.
Menurutnya, pegawai Jabtan Imigresen Malaysia (JIM) telah meneliti surat beranak kanak-kanak tersebut dan salinan kad pengenalan 'ibu', namun secara fizikalnya kanak-kanak itu lebih berusia dari umur asalnya.
"Pegawai cuba berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu kepada kanak-kanak terbabit dengan bertanyakan beberapa soalan asas dan umum, namun nyata dia tidak dapat memberi maklum balas dan tidak faham apabila diarahkan membuat pengesahan biometrik cap jari kanan dan kiri.
"Wanita terbabit yang menyamar sebagai 'ibu' kepada kanak-kanak Sri Lanka itu telah disoal siasat oleh penyelia dan pegawai kanan bertugas sebelum keterangan mendapati dia telah diarahkan oleh satu sindiket yang membantu warga Sri Lanka memperoleh Pasport Malaysia Antarabangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, modus operandi suspek wanita tersebut adalah mengemukakan sijil kelahiran anak kandungnya, manakala kanak-kanak Sri Lanka tersebut menyamar sebagai anaknya itu.
Tambahnya, bertindak atas arahan Ketua Imigresen UTC Pudu Sentral, kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150) bagi penyiasatan lanjut.
"JIM telah merampas beberapa dokumen serta telefon bimbit yang digunakan sebagai medium perantara sindiket dan suspek," ujarnya.
Jelasnya, tindakan menyamar sebagai warganegara Malaysia untuk memperoleh pasport adalah satu penipuan sistematik yang menjejaskan keselamatan negara.
"Dokumen warga tempatan yang disalahgunakan berdepan risiko penyalahgunaan identiti, masalah undang-undang dan rekod jenayah palsu," ujarnya.
Tegasnya, JIM Kuala Lumpur akan mengembangkan siasatan bagi mengesan ahli rangkaian sindiket tersebut yang cuba memperolehi dokumen pasport antarabangsa secara tidak sah.
"JIM ingin memberi jaminan bahawa prosedur pengeluaran pasport adalah ketat dan teliti termasuk penggunaan teknologi bagi memastikan dokumen tidak jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyalahi undang-undang tanpa kompromi," katanya.
Ringkasan AI
- Cubaan sindiket warga Sri Lanka mendapatkan pasport Malaysia menggunakan kanak-kanak berusia 10 tahun terbongkar di UTC Pudu Sentral
- Kanak-kanak hadir bersama wanita menyamar sebagai ibunya
- Pegawai Imigresen meneliti surat beranak dan kad pengenalan tetapi mendapati ketidakkonsistenan
- Wanita tersebut disoal siasat dan didapati bertindak atas arahan sindiket untuk memperoleh Pasport Malaysia Antarabangsa
- Kedua-dua suspek ditahan di bawah Akta Pasport 1966 bagi penyiasatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
