Pelancong wanita warga China lemas di Pulau Perhentian

Seorang pelancong wanita warga China ditemukan lemas ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini, pada Khamis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azamuddin)
Seorang pelancong wanita warga China ditemukan lemas ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini, pada Khamis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azamuddin)
A
A
A

BESUT – Seorang pelancong wanita warga China ditemukan lemas ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini, pada Khamis.

Mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan sedang berenang seorang diri sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan berbatu sekitar jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa tiba di Malaysia pada 3 Jun lalu dan menginap di sebuah hotel di Pulau Perhentian bersama sepupunya.

"Pada hari kejadian, mangsa bersama sepupunya telah pergi ke tepi pantai sekitar jam 11 pagi. Mangsa kemudian berenang seorang diri dan tidak kembali," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, selepas lebih 30 minit, sepupu mangsa menyedari mangsa tidak pulang dan mula mencarinya sebelum orang awam menemukan mangsa dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di kawasan berbatu.

"Mangsa dibawa ke tepi pantai oleh orang awam yang turut menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Azamuddin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas dan tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika menjalankan sebarang aktiviti di kawasan air.

"Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah boleh disalurkan ke IPD Besut di talian 09-6956222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!