Selepas 20 tahun sepi, malam pekan Seremban kembali bernyawa

SEREMBAN – Suasana malam di Pekan Seremban yang dahulunya seakan mati kini kembali hidup sejak adanya jualan pasar karat sepanjang lebih 250 meter di Lorong Seni Seremban di sini sejak Julai lalu.
Pasar yang menghimpunkan kira-kira 100 peniaga menjual pelbagai barangan antik dan terpakai itu dibuka setiap Jumaat hingga Ahad, bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.
Kewujudan pasar karat berkenaan secara tidak langsung turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga di Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Jalan Dato’ Abdul Rahman termasuk peniaga makanan di Benteng Walk susulan peningkatan pengunjung sejak kebelakangan ini.
Salah seorang peniaga, Mohammad Yusof Saad, 36, berkata, suasana malam di bandar ini kembali hidup sejak adanya pasar karat berkenaan yang secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepada peniaga di kawasan sekitar.
“Saya menjual figura anime di sini dan alhamdulillah, kehadiran pengunjung amat menggalakkan terutama selepas jam 8 malam.

“Saya boleh katakan suasana malam di pekan ini sudah banyak berubah sejak adanya pasar karat ini dan pengunjung yang datang bukan saja dari Negeri Sembilan, tapi juga dari negeri berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.
Peniaga barangan antik di Bazar MAINS, Ridzuan Darus, 58, turut meluahkan rasa syukur sejak adanya pasar karat berkenaan yang secara tidak langsung menarik kehadiran pengunjung ke bazar terbabit.
Ini kerana, katanya, selama ini bazar itu dianggap sebagai “tempat berhantu” terutama pada waktu malam kerana ketiadaan pengunjung.
“Sejak adanya pasar karat ini, ramai pengunjung datang dan kami di Bazar MAINS serta penjaja makanan di Benteng Walk turut menerima tempiasnya. Malah, ada pelanggan yang sanggup beratur untuk membeli makanan.
“Ada juga yang memberitahu mereka tidak tahu kewujudan beberapa kedai barangan antik di Bazar MAINS sehinggalah pasar karat ini diwujudkan,” katanya.
Pengunjung dari Sepang, Selangor, Shahrizal Zabil, 45, pula berkata, ini kali kedua dia datang ke pasar karat berkenaan untuk mendapatkan barangan yang diingini.
“Saya tahu mengenai pasar karat ini bila tengok ada peniaga yang iklankan barang mereka di media sosial.
“Jadi saya datanglah berjalan-jalan di sini dan tengok banyak juga barang-barang yang menarik,” katanya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang usaha untuk memeriahkan sektor pelancongan tempatan.
“Pelancong domestik juga adalah pelancong, tapi saya berharap penganjur dapat juga menarik kehadiran pelancong luar, khususnya dari negara Asia Tenggara, dengan mewujudkan kerjasama bersama agensi pelancongan.
“Langkah ini penting bagi memastikan kehadiran pengunjung sentiasa konsisten. Saya dapat lihat, selepas lebih 20 tahun sunyi, Pekan Seremban kini kembali meriah pada waktu malam,” katanya.
Ringkasan AI
- Suasana malam di Pekan Seremban kembali hidup dengan adanya jualan pasar karat di Lorong Seni Seremban sejak Julai lalu
- Pasar karat ini dibuka setiap Jumaat hingga Ahad, dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam dan mengumpulkan kira-kira 100 peniaga
- Peningkatan pengunjung ke pasar karat turut memberi manfaat kepada peniaga di Bazaar MAINS dan peniaga makanan di Benteng Walk
- Pelbagai barangan antik dan terpakai dijual di pasar ini, menarik perhatian pengunjung tidak hanya dari Negeri Sembilan tetapi juga negeri berhampiran
- Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan usaha memeriahkan sektor pelancongan tempatan, termasuk menarik pelancong dari negara Asia Tenggara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


