Erdogan desak Israel hentikan serangan serta-merta, patuhi pelan damai Trump

ISTANBUL - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mendesak Israel supaya segera menghentikan serangan dan mematuhi pelan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Erdogan dalam hantaran di platform media sosial X berkata, respons Hamas terhadap pelan itu "merupakan langkah yang membina dan penting ke arah mencapai keamanan berkekalan.
"Bagi pihak Türkiye, kami akan terus berusaha dengan segala upaya bagi memastikan rundingan menghasilkan keputusan terbaik untuk rakyat Palestin serta merealisasikan penyelesaian dua negara yang disokong masyarakat antarabangsa."
Beliau menegaskan langkah segera perlu diambil bagi memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencapai keamanan berkekalan.
"Pembunuhan beramai-ramai ini, gambaran memalukan yang melukai hati nurani dunia, mesti segera dihentikan,” katanya.
Hamas sebelum ini menyerahkan maklum balas rasmi terhadap pelan Trump, termasuk persetujuan membebaskan semua tawanan Israel, menyerahkan jenazah mangsa serta menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang bebas.
Pada Jumaat, Trump menetapkan sehingga jam 6 petang waktu Washington pada Ahad untuk Hamas meluluskan pelannya.
Pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Gaza sebagai zon bebas senjata dengan mekanisme pemerintahan peralihan yang di pantau secara langsung oleh Trump melalui sebuah badan antarabangsa yang ditugaskan mengawasi pelaksanaannya.
Ia termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Selain itu, pelan terbabit menetapkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah itu, yang kemudiannya akan ditadbir sebuah pihak berkuasa teknokrat di bawah seliaan badan antarabangsa diketuai Presiden AS.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan, sekali gus mendorong krisis kebuluran.
Sejak Oktober 2023, hampir 66,300 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendesak Israel menghentikan serangan dan mematuhi gencatan senjata Donald Trump untuk Gaza
- Erdogan menyatakan respons Hamas terhadap pelan gencatan tersebut positif ke arah keamanan berkekalan
- Turkiye berusaha memastikan rundingan menghasilkan keputusan terbaik untuk rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara
- Pelan Trump mencakupi penghentian permusuhan, pelucutan senjata di Gaza dan pengunduran Israel
- Sekatan Israel terhadap Gaza menyebabkan krisis kebuluran dan kematian hampir 66,300 penduduk Palestin sejak Oktober 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
