30 maut akibat salji lebat

TOKYO – Sekurang-kurangnya 30 orang maut manakala kira-kira 200 lagi cedera selepas Jepun dilanda salji lebat luar biasa yang berterusan selama dua minggu, menurut data terbaharu kerajaan negara itu pada Selasa, dengan pihak berkuasa memberi amaran angka korban berkemungkinan terus meningkat.
Kerajaan Jepun memaklumkan, cuaca buruk yang bermula sejak 20 Januari lalu telah mencetuskan pelbagai insiden maut, termasuk penduduk tertimbus di dalam rumah, kemalangan berkaitan salji serta gangguan perjalanan di beberapa wilayah utama.
Walaupun Jepun sememangnya terkenal dengan musim sejuk bersalji, khususnya di kawasan pantai barat dan wilayah utara, taburan salji luar biasa pada musim sejuk kali ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk dalam beberapa dekad, menurut pegawai tempatan.
Salah sebuah bandar dilaporkan menerima kira-kira 183 sentimeter salji, paras tertinggi yang direkodkan dalam tempoh hampir 40 tahun.
Cuaca ekstrem itu turut melumpuhkan sistem pengangkutan awam, termasuk menyebabkan ribuan penumpang terkandas di Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido.
Bagi menangani situasi tersebut, kerajaan Jepun mengerahkan anggota tentera ke kawasan paling terjejas bagi membantu membersihkan salji, khususnya di kediaman warga emas yang berdepan risiko tinggi akibat runtuhan salji dari bumbung rumah.-Agensi
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 30 orang maut dan kira-kira 200 lagi cedera selepas Jepun dilanda salji lebat selama dua minggu
- Cuaca buruk sejak 20 Januari mencetuskan pelbagai insiden maut termasuk penduduk tertimbus dalam rumah
- Taburan salji luar biasa ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk dalam beberapa dekad
- Satu bandar menerima kira-kira 183 sentimeter salji, paras tertinggi dalam hampir 40 tahun
- Sistem pengangkutan awam, termasuk Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido, terjejas serta tentera dikerahkan untuk membersihkan salji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

