Negara rugi RM4.9 bilion akibat bitcoin

SHAH ALAM - Negara menanggung kerugian mencecah hampir RM4.9 bilion sejak tahun 2018 akibat kegiatan penyambungan elektrik haram melibatkan aktiviti perlombongan mata wang kripto, bitcoin.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawalan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ismail Zaili Yusop berkata, kerugian besar itu direkodkan melalui 15,125 kes yang dikesan dalam tempoh sama sehingga Julai lalu.
Menurut Ismail Zaili, melalui operasi yang dilakukan pihaknya, dalam tempoh lima tahun berakhir sejak 2021, kerugian akibat kecurian elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin dicatat hampir RM28.7 juta melibatkan 67 premis.

“Kedah mencatat jumlah kerugian tertinggi iaitu lebih RM13.4 juta melibatkan 18 premis diikuti Perak RM5.9 juta dengan 20 premis dan Selangor sebanyak RM5.6 juta di 16 premis,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau memaklumkan, negeri lain yang turut merekodkan kerugian termasuk Kelantan dengan RM1.8 juta melibatkan dua premis, Pahang empat premis (RM768,975), Negeri Sembilan tiga premis (RM487,585), Pulau Pinang dua premis (RM309,906), Melaka satu premis (RM136,933) dan Johor satu premis (RM129,218) dengan semua kes melibatkan penyambungan elektrik haram bagi tujuan melombong bitcoin.
Dalam tempoh lima tahun sama, ST yang merupakan agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga telah membawa 27 kes kecurian elektrik ke mahkamah.

Kes tersebut melibatkan pelbagai kesalahan di premis termasuk kilang haram dan bangunan komersial yang menggunakan sambungan elektrik secara curang.
Ismail Zaili berkata, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) di bawah Seksyen 37(3) memperuntukkan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun bagi pengguna domestik manakala bagi pengguna bukan domestik denda maksimum mencecah RM1 juta atau penjara lima tahun bagi kesalahan pertama.

Sementara itu pada Jun lalu, ST memaklumkan pihaknya telah melupuskan sebanyak 2,933 unit barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.
Pelupusan itu melibatkan barangan kes dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hasil siasatan terhadap beberapa pelanggaran perundangan berkaitan keselamatan serta penggunaan tenaga elektrik.

Antara barangan yang dilupuskan melibatkan kes kemalangan elektrik yang melibatkan 16 kertas siasatan, operasi curi elektrik (empat kertas siasatan) dan operasi kelengkapan elektrik tidak sah (satu kertas siasatan).
Pelupusan tersebut dijalankan di pusat pelupusan logam berlesen di Balakong, Selangor di dijalankan berdasarkan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 413 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), melibatkan 21 kertas siasatan yang telah diselesaikan melalui proses mahkamah dan kompaun.
Ringkasan AI
- Negara menanggung kerugian hampir RM4.9 bilion akibat penyambungan elektrik haram untuk perlombongan bitcoin sejak tahun 2018
- Kerugian tersebut direkodkan melalui 15,125 kes hingga Julai lalu
- Kedah mencatat jumlah kerugian tertinggi lebih RM13.4 juta
- Dalam tempoh lima tahun, 27 kes kecurian elektrik dibawa ke mahkamah
- ST telah melupuskan sebanyak 2,933 unit barangan rampasan bernilai lebih RM1.7 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

