Lebih ramai rakyat perlu nikmati manfaat pertumbuhan ekonomi, literasi kewangan - PM

Anwar berucap sempena Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar berucap sempena Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mahu lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serta literasi kewangan dan bukan hanya kelompok kecil dalam masyarakat terutamanya golongan elit.

Beliau berkata, tahap celik kewangan amat penting untuk memperkukuh daya tahan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi, sekali gus mengelakkan mereka mudah terjebak dalam skim pelaburan atau penipuan kewangan.

"Kadar pertumbuhan ekonomi negara segar dan vibrancy (kukuh), dari sisi kewangan seluruhnya itu lebih meyakinkan. Kita tidak mahu ini hanya dimanfaatkan oleh kelompok yang kecil, golongan elit dari sudut kuasa atau kewangan.

"Kita mahu melebarkan, merentas semua kaum, masuk golongan yang lebih miskin atau sederhana dan bagaimana harus kita jayakan adalah dengan memberi kefahaman (dari segi kewangan)," kata beliau.

Anwar berkata demikian menerusi ucapan beliau pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Perdana Menteri turut melancarkan Program Jelajah 'Skuad Celik Kewangan' yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak dikendalikan oleh ahli-ahli Jaringan Pendidikan Kewangan.

Anwar turut mengingatkan keperluan untuk terus mengasah pemikiran kritis dalam literasi kewangan bagi mengelak terdedah kepada risiko kerugian serta manipulasi.

Oleh itu, kata beliau, pendidikan kewangan harus bermula daripada peringkat sekolah hingga ke masyarakat umum dengan penglibatan aktif institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Bank yang ada cawangan di seluruh negara, patut ada juga usaha untuk dekati sekolah berdekatan, masjid berdekatan, masyarakat berdekatan untuk memberikan sedikit kefahaman dan pendidikan," kata Anwar.

Beliau berkata, literasi kewangan perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat, selaras dengan matlamat membina masyarakat madani yang inklusif. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin manfaat pertumbuhan ekonomi dan literasi kewangan merentas semua kaum, tak terbatas pada golongan elit
  • Celik kewangan merupakan kunci untuk memperkuat daya tahan rakyat menghadapi cabaran ekonomi dan menghindari penipuan
  • Anwar menyatakan kepentingan pendidikan kewangan dari sekolah hingga masyarakat umum dengan penglibatan institusi kewangan
  • Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 diikuti dengan pengenalan Program Jelajah 'Skuad Celik Kewangan'
  • Literasi kewangan perlu menjadi bagian budaya masyarakat untuk mencapai masyarakat madani yang inklusif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!