AI cabaran baharu, kebijaksanaan hakim kekal penting - Ketua Hakim Negara

Wan Ahmad Farid berucap pada Persidangan Undang-Undang Majlis Peguam Selangor 2025 pada Jumaat. Foto Bernama
Wan Ahmad Farid berucap pada Persidangan Undang-Undang Majlis Peguam Selangor 2025 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) merupakan antara res nova atau cabaran baharu paling mendesak bagi badan kehakiman, khususnya dalam memastikan kebertanggungjawaban, keadilan dan integriti dalam proses membuat keputusan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata, kebangkitan AI telah mewujudkan isu perundangan yang tidak pernah dibayangkan oleh generasi perundangan terdahulu, daripada pembuatan keputusan secara automatik hinggalah penggunaannya dalam amalan guaman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab malah status perundangan.

"Ada yang bimbang AI akan menggantikan pertimbangan kehakiman. Saya percaya sebaliknya, AI akan menjadikan kebijaksanaan kehakiman manusia lebih penting, bukannya sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-Undang Majlis Peguam Selangor 2025 bertemakan ‘Res Nova’ di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Istilah ‘res nova’ berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud ‘sesuatu yang baharu’. Dalam konteks undang-undang, ia merujuk kepada isu atau kes perundangan yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah.

Wan Ahmad Farid berkata, AI mampu menganalisis data undang-undang dalam jumlah yang besar, mengenal pasti corak serta menyorot duluan kes dengan pantas, namun ia tidak mempunyai keupayaan menilai faktor manusia yang menjadi inti pati kepada keadilan.

"AI tidak dapat menentukan kredibiliti saksi, pertimbangan saksama yang dituntut oleh keadilan ataupun nilai-nilai perlembagaan yang mesti menjadi panduan dalam tafsiran undang-undang,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun mahkamah kini telah memanfaatkan AI dalam pengurusan kes, penyelidikan undang-undang dan kecekapan pentadbiran, penerapan prinsip undang-undang kepada keadaan manusia tetap merupakan tugas yang tidak dapat diganti oleh mesin.

"Persoalannya bukan sama ada AI akan mengubah cara kita mengamalkan undang-undang; kerana ia sudah pun berlaku. Persoalannya ialah bagaimana kita memastikan teknologi ini berperanan membantu menegakkan keadilan, bukan menggantikannya.

Artikel Berkaitan:

"Tema ‘Res Nova’ mengingatkan kita bahawa undang-undang bukan monumen statik kepada kebijaksanaan silam, sebaliknya satu sistem hidup yang mesti berkembang memenuhi keperluan setiap generasi tanpa mengabaikan kesinambungan prinsip keadilan yang abadi,” katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kecerdasan buatan merupakan cabaran utama untuk badan kehakiman dalam menjaga keadilan
  • Kebangkitan AI menimbulkan isu baru dalam undang-undang yang belum pernah dibayangkan
  • AI mampu analisis data besar tetapi tidak dapat menilai faktor manusiawi dalam keadilan
  • Walaupun AI digunakan dalam pengurusan kes, keputusan tetap perlu mempertimbangkan nilai manusia
  • Peranan AI adalah untuk membantu proses keadilan, bukan menggantikannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!