Penduduk flat usang sokong RUU PSB

Keadaan Flat Kuchai Jaya dalam keadaan daif yang memerlukan pembangunan semula dilaksanakan di kawasan tersebut.
Keadaan Flat Kuchai Jaya dalam keadaan daif yang memerlukan pembangunan semula dilaksanakan di kawasan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hidup dalam flat uzur dengan lif rosak sejak 25 tahun, bumbung bocor, paip pecah dan parkir sesak bukan lagi perkara baharu bagi penduduk flat lama sekitar ibu negara.

Keperitan itu membuatkan mereka sebulat suara menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) agar kediaman lebih selesa dapat direalisasikan sebelum mereka ‘menutup mata’.

Majoriti penduduk menyokong RUU PSB kerana percaya projek pembangunan semula mampu merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Bagi mereka, undang-undang itu diharap mampu menjadi jalan keluar kepada pelbagai masalah perumahan yang membelenggu sejak puluhan tahun lalu.

Jika RUU PSB dilaksanakan dengan segera, ia bukan sahaja menjawab rintihan penduduk flat lama, malah membuktikan keupayaan kerajaan menyediakan dasar perumahan yang adil dan mampan.

Penduduk, K Kadiresen, 79, berkata, kediamannya di tingkat enam pernah dua kali diterbangkan ribut hingga memaksanya mengeluarkan perbelanjaan baik pulih kira-kira RM8,000.

K Kadiresen berkata, penduduk sering mengeluh berikutan lif sedia ada rosak lebih 25 tahun lalu dan masalah bekalan air juga kerap berlaku terutama pada waktu malam menyebabkan penduduk terpaksa menyimpan air sendiri.

“Bayangkan kami yang warga emas ini terpaksa naik dan turun tangga setiap hari disebabkan lif tidak berfungsi.

"Kalau ikutkan dari segi tahap keselesaan dan kebersihan kawasan ini, saya beri 30 peratus sahaja, memang tak sesuai untuk didiami dan lebih baik dibangunkan semula," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Pengusaha katering, Hamed Kadir, 62, berkata, kebersihan di flat itu dianggap kurang memuaskan termasuk isu longkang tersumbat dan sistem kumbahan tidak sistematik menjadi punca pembiakan nyamuk.

Hamed yang menetap hampir 30 tahun di Blok A berkata, penduduk juga terjerat dengan bayaran tunggakan penyelenggaraan flat berkenaan.

“Kebersihan di flat ini dianggap teruk termasuk isu longkang tersumbat dan sistem kumbahan tidak sistematik menjadi punca pembiakan nyamuk. Dulu caj selenggara cuma RM10 dan sekarang sudah naik sampai RM30, namun saya jadi pelik apabila terima notis tunggakan sehingga RM21,000.

"Kalau kita lihat kawasan ini memang segala kemudahan langsung tidak dijaga dan penduduk sudah lama menahan derita," jelasnya.

Hamed menunjukkan lif yang tidak dapat digunakan akibat tidak diselenggara sejak 20 tahun lalu.
Hamed menunjukkan lif yang tidak dapat digunakan akibat tidak diselenggara sejak 20 tahun lalu.

Hamed mendakwa, kebanyakan masalah kerosakan tidak pernah diselesaikan oleh pemaju mahupun pihak pengurusan.

"Saluran air kumbahan bocor, tangga gelap pada waktu malam dan sampah berlonggok terpaksa semuanya kami baiki dan uruskan sendiri.

"Anak-anak pula hanya mampu bermain di luar blok disebabkan ketiadaan ruang untuk mereka beriadah," tambahnya.

'Kami sanggup roboh, asalkan kediaman selesa' - Penduduk

Sementara itu, seorang warga emas, Rohani Khairom, 74, yang menetap di Flat Taman Seri Endah, Seri Petaling di sini meluahkan impian untuk melihat kediamannya diganti dengan rumah baharu yang lebih selesa sebelum menutup mata.

Rohani yang lebih 40 tahun menetap di flat itu berkata, kawasan itu kini ibarat bangunan uzur yang sarat dengan masalah kebocoran paip, tandas tersumbat, bumbung bocor dan parkir yang semakin sesak.

"Kadang-kadang nak tunggu penyelenggaraan datang ambil masa dua hari dan keadaan ini sudah tentu merungsingkan kami," katanya.

Menurut Rohani, meskipun berdepan pelbagai masalah, namun dia tidak mahu terus tinggal dalam keadaan seperti itu untuk tempoh lebih lama lagi.

"Saya memang setuju kalau rumah ini dirobohkan dan dibangunkan semula asalkan kerajaan atau pemaju beri elaun sewa sementara, kami rela pindah.

Penduduk lain, Faridah Sawi, 68, turut berkongsi cabaran yang dilalui sejak mendiami tingkat empat flat itu kira-kira 40 tahun lalu.

"Dulu masa muda saya boleh naik dan turun tangga flat ini tanpa masalah, namun dengan faktor usia menyebabkan tidak larat lagi untuk semua itu. Sistem pendawaian sudah lebih 30 tahun, pintu kayu banyak reput, manakala kos pula sangat membebankan, jadi lebih baik dibangunkan semula,” katanya.

Faridah yang juga ibu tunggal menegaskan, cadangan pembangunan semula diharapkan bukan sekadar janji kosong.

"Pemaju sudah tunjuk rekod yang meyakinkan dan bagi saya, kalau ada lif pun sudah cukup, tapi kalau buat rumah baru lebih moden dengan kemudahan lengkap itu lebih baik," tambahnya.

Bagi Esther Wang, 55, pula, sebanyak RM8,000 sudah dibelanjakan bagi baik pulih rumahnya termasuk menangani masalah anai-anai dan pintu reput.

“Setiap kali hujan, ada kebocoran dari tingkat atas menyebabkan ada lantai sudah retak. Dari segi kerja penyelenggaraan memang ada, tapi ibarat bayar RM35 sebulan tanpa perubahan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Mat Salleh, 71, berkata, kebanyakan masalah di flat itu terpaksa ditanggung sendiri oleh penduduk.

"Jadi lebih baik rumah ini dibangunkan semula kerana ia bukan untuk saya, tapi untuk anak serta cucu generasi akan datang," katanya.

Bagi Salim Ishak, 70, pula, pembangunan semula adalah perjuangan yang telah lama dan perlu dilaksanakan segera.

"Saya sudah duduk sini sejak 1990 iaitu lebih 35 tahun lalu dan mahukan perubahan. Jika kerajaan setuju sahaja laksanakan pembangunan semula dan beri duit sewa rumah sementara, saya memang sedia untuk berpindah,” katanya.

Mengulas perkara sama, Rahimah Ghafor, 71, berkata, lebih 500 daripada 664 unit di kawasan itu sudah menandatangani persetujuan bagi pembangunan semula.

"Kalau kerajaan kata siap hari ini, malam ini juga saya pindah sebab dah terlalu lama menunggu pembangunan semula.

"Rumah lama ini makin teruk kerana najis keluar dari saluran, bumbung bocor dan pelbagai masalah lain yang memerlukan perhatian pihak berwajib," ujarnya.

Menurut Rahimah, isu utama yang membuat segelintir penduduk membantah ialah bayaran penyelenggaraan projek penggantian kediaman baharu yang dijangka lebih tinggi.

"Saya difahamkan pemaju beri dua lot parkir kepada setiap pemilik. Kalau satu lot kita tak nak gunakan, bolehlah sewakan lot itu pada harga RM100 ke RM150 kepada mana-mana penyewa untuk menampung kos penyelenggaraan.

"Bagi saya ini soal masa depan anak cucu, bukan tentang politik atau sentimen sempit," tambahnya.

Rahimah menegaskan, majoriti penduduk sudah bersetuju dan berharap kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

"Kalau ada 500 lebih setuju dan hanya 20 orang bantah, kenapa kita perlu terus menunggu? Ini hak penduduk dan suara rakyat,” katanya.

REAKSI

K.KADIRESEN
K.KADIRESEN

"Kalau ikutkan dari segi tahap keselesaan dan kebersihan kawasan ini, saya beri 30 peratus sahaja, memang tak sesuai untuk didiami dan lebih baik dibangunkan semula.” -K Kadiresen

HAMED
HAMED

"Kalau kita lihat kawasan ini memang segala kemudahan langsung tidak dijaga dan penduduk sudah lama menahan derita.” -Hamed

ROHANI
ROHANI

“Saya memang setuju kalau rumah ini dirobohkan dan dibangunkan semula asalkan kerajaan atau pemaju beri elaun sewa sementara, kami rela pindah.” -Rohani Khairom

ESTHER
ESTHER

"Dari segi kerja penyelenggaraan memang ada, tapi ibarat bayar RM35 sebulan tanpa perubahan.” -Esther Wang

ABU BAKAR
ABU BAKAR

"Jadi lebih baik rumah ini dibangunkan semula kerana ia bukan untuk saya, tapi untuk anak serta cucu generasi akan datang.”-Abu Bakar

SALIM
SALIM

"Jika kerajaan setuju sahaja laksanakan pembangunan semula dan beri duit sewa rumah sementara, saya memang sedia untuk berpindah.”- Salim

RAHIMAH
RAHIMAH

“Kalau kerajaan kata siap hari ini, malam ini juga saya pindah sebab dah terlalu lama menunggu pembangunan semula.” - Rahimah

RUU Pembaharuan Semula Bandar tangani isu pembangunan masa hadapan

ALIAS
ALIAS

PUTRAJAYA - Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) memberi jaminan kerangka cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak akan meminggirkan atau mengancam hak mana-mana golongan sama ada berdasarkan kaum atau pendapatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Alias Rameli berkata, inisiatif itu juga bertujuan untuk membantu mengawal isu berkaitan pemaju dengan penglibatan kerajaan dalam pembangunan di kawasan bandar supaya proses berjalan dengan lebih teratur.

Menurutnya, penggubalan RUU tersebut turut selaras dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan kerangka perundangan yang berfungsi memperkukuhkan urus tadbir yang berkesan untuk memastikan kemampanan, inklusif dan daya huni bagi menangani isu pembangunan masa hadapan.

“Sehingga kini, masih belum ada elaksanaannya (kerangka perundangan) secara sistematik dan teratur. Tidak salah kalau kita di peringkat Persekutuan hendak menggubal satu perundangan bagi menyeragamkan proses tatacara dan tadbir urus yang akhirnya boleh menjadi rujukan kepada pihak berkuasa negeri. Itu hasrat kami.

“Kita telah mengadakan 102 sesi libat urus bersama tokoh akademik, badan profesional, persatuan pemaju perumahan, persatuan penduduk dan sebagainya bagi menjelaskan hasrat di peringkat kementerian.

“Tidak dinafikan ada yang takut apabila kita sebut perkataan pembangunan semula kerana dalam pemikiran mereka, sebagai contoh kalau yang tinggal dalam skim perumahan dia ingat kerajaan hendak ambil tanah mereka. Sebenarnya tidak begitu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Alias berkata, pembaharuan semula bandar juga merupakan rancangan masa hadapan kerajaan bagi meremajakan kawasan berkenaan dengan menangani aspek keusangan, selain daripada perancangan fizikal Malaysia sedia ada yang terdapat dalam semua dasar utama negara.

Beliau dalam masa sama turut menjelaskan, sebarang jenis projek pembaharuan semula bandar tidak akan dijalankan di tapak warisan yang telah digazet di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Akta PSB gariskan empat prinsip utama

Menurut Alias, penggubalan RUU itu turut menggariskan empat prinsip utama bagi menjamin hak pemilik yang terlibat dalam dalam projek pembangunan berkenaan.

Katanya, empat prinsip tersebut ialah persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, menjaga kepentingan pemilik tanah dan penempatan sementara yang kondusif.

“Jadi berdasarkan empat prinsip utama tersebut amat jelas sebagai kaedah atau mekanisme bahawa jaminan untuk mengekalkan pemilik tanah atau penduduk asal adalah mandatori.

“Strateginya bukan sahaja dengan menawarkan satu kediaman baharu yang lebih baik selepas projek disiapkan, malahan juga pemilik akan menerima manfaat sepanjang kerja pembinaan dijalankan termasuk penginapan sementara yang selesa, kos perpindahan, kemudahan dan kebajikan ahli keluarga dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, agenda pembaharuan semula bandar merupakan perancangan untuk rakyat kerana ia memberi fokus kepada usaha mengimbangi keperluan dalam pembangunan negara dan pada masa yang sama membantu masyarakat Malaysia termasuk meningkatkan kualiti hidup dan alam sekitar.

Henti polemikkan RUU PSB

Sementara itu, ditanya mengenai mekanisme perundingan awam atau libat urus yang diguna pakai dalam merangka RUU ini, terutamanya untuk mendapatkan suara penduduk asal kawasan bandar yang terlibat, Alias menjelaskan ia melalui proses perundingan bagi mendapatkan ambang persetujuan.

“Jika penduduk tidak bersetuju dengan sesuatu projek pembaharuan bandar, maka projek berkenan tidak akan dijalankan. Kita perlukan persetujuan sekurang-kurangnya 75 sehingga 80 peratus daripada penduduk yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai harapan beliau secara peribadi terhadap pelaksanaan RUU berkenaan dalam mentransformasikan landskap bandar Malaysia menjelang 2030, Alias berkata, ia diharap dapat mendokong dasar kerajaan memperkasakan Ekonomi Madani dalam membangunkan Malaysia ke arah negara yang maju.

Menurut Alias, agenda itu juga menjadi trend semasa negara di dunia memandangkan penawaran tanah semakin terhad berikutan kehendak pembangunan yang melebihi keperluan bandar dan kawasan tersebut menjadi tepu bina tanpa ada peluang pembangunan semula dibuat.

Sehubungan itu katanya, sudah tiba untuk Malaysia memerlukan dasar pembangunan baharu dan pada masa yang sama tidak berkompromi dalam penawaran tanah bagi kelangsungan makanan dan perhutanan negara, maka model pembaharuan semula bandar ini diperkenalkan.

“Akta ini juga boleh menjadi model pembaharuan semula bandar yang menyelesaikan masalah-masalah pembangunan masa kini, terutamanya bagi projek terbengkalai, terbiar ataupun kawasan yang bermasalah sosial,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai harapan beliau secara peribadi terhadap pelaksanaan RUU berkenaan dalam mentransformasikan landskap bandar Malaysia menjelang 2030, Alias berkata, ia diharap dapat mendokong dasar kerajaan memperkasakan Ekonomi Madani dalam membangunkan Malaysia ke arah negara yang maju.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!