Halang tugas polis: Dua peserta himpunan depan Kedutaan AS dibebaskan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang ditahan disyaki menghalang tugas polis ketika kawalan keselamatan ketika perhimpunan aman pro-Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini pada Khamis telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dibebaskan selepas siasatan awal dijalankan.
"Kedua-dua suspek telah dirakam keterangan untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan pada malam hari yang sama.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Fadil memberi jaminan pihaknya bersedia membantu melancarkan mana-mana perhimpunan susulan tindakan Israel menahan misi kemanusiaan GSF ke Gaza.
"Polis Kuala Lumpur menghargai kebebasan berhimpun, namun peserta dinasihatkan mematuhi undang-undang serta arahan polis demi ketenteraman awam agar himpunan berjalan lancar dan tidak dipandang negatif," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan kekecohan tercetus apabila peserta himpunan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di bahagian mulut akibat disiku seorang peserta.
Ringkasan AI
- Dua lelaki ditahan kerana menghalang tugas polis dalam perhimpunan pro-Palestin di Kuala Lumpur
- Kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis
- Suspek dirakam keterangan dan dilepaskan pada malam yang sama
- Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan
- Polis menghargai kebebasan berhimpun tetapi peserta harus mematuhi undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

