Depan Kedutaan AS dipenuhi kumpulan Himpunan #Stand4Sumud

KUALA LUMPUR – Kumpulan Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini pada Khamis.
Perhimpunan itu diadakan bagi menyaksikan sendiri penyerahan memorandum kepada pihak kedutaan sebagai tanda protes terhadap sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Zionis.
Proses penyerahan memorandum yang diketuai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim bersama empat individu lain, diiringi Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.
Bagaimanapun, tiada wakil Kedutaan AS tampil menerima memorandum berkenaan.
Pendakwah, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf, berkata Israel melanggar peraturan dunia.

“Mereka tidak lemah, mereka tidak duduk. Mereka sedang gembira kerana sejarah flotila telah dekat menghampiri Gaza.
“Sampaikan salam buat rakyat Malaysia daripada pejuang Sumud. Dengan akhlak dipertontonkan, satu dunia menyaksikan kebaikan kita dan keburukan pihak sana (Israel).
“Sama-sama doakan mereka (Sumud). Ya ALLAH, selamatkan pejuang kami, jaga kehormatan wanita kami,” katanya ketika berucap di hadapan Kedutaan AS di sini pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
