LHDN buat semakan E-dagang, termasuk di media sosial

LHDN
LHDN
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuat semakan terperinci ke atas perniagaan e-dagang, termasuk yang memanfaatkan platform media sosial, untuk mendapatkan maklumat berkaitan pengisytiharan aset tidak tepat, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau berkata, sebuah pasukan telah dibentuk pada September 2018 untuk menyemak ketakpadanan antara aset dikumpul dan aset yang diisytiharkan.

“Kami akan meneliti kes kekayaan luar biasa yang tidak diperjelaskan individu dan syarikat yang dipaparkan di media sosial,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog KPMG dengan LHDN di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan itu akan menyemak akaun bank yang diberikan peserta e-dagang di media sosial untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Sabin berkata, pasukan tersebut turut ditubuhkan seiring dengan pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela sehingga 30 Jun ini, yang menggalakkan pembayar cukai mengisytiharkan sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan.

Pengurangan kadar penalti yang banyak akan ditawarkan semasa tempoh pengakuan berkenaan.

Setakat ini, LHDN telah mengenal pasti sejumlah 80,000 pembayar cukai yang layak, merangkumi syarikat dan individu, yang gagal membayar atau mengisytiharkan cukai mereka.

“Daripada jumlah itu, 4,000 adalah syarikat manakala 76,000 lagi ialah individu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

LHDN amat menyedari wujud ketidakpastian dalam kalangan pembayar cukai mengenai program itu, khususnya melibatkan kepercayaan.

Sabin mengulangi bahawa sebarang pembayaran sukarela akan diterima LHDN dengan suci hati malah tidak akan meminta sebarang sebab atau membangkitkan sebarang persoalan mengenai aset berkenaan.

Tanpa memaklumkan kutipan cukai 2018, Sabin berkata jumlah itu berada dalam lingkungan sasaran LHDN, bagaimanapun, maklumat terperinci akan diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Maklum balas daripada orang ramai amat menggalakkan dan mencapai jangkaan. Bagaimanapun, ia tidak mengatasi jangkaan kami memandangkan masih terdapat pembayar cukai yang memikirkan sama ada mereka boleh mempercayai LHDN atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, pembayar cukai kini boleh mengemukakan pengakuan mengikut program itu menerusi sistem e-filing. - Bernama