GSF: Kapal Marinette kekal haluan ke Gaza, abaikan ancaman tentera Israel

Sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara Pusat Kawalan SNCC, Gudang Mapim Malaysia Central, Sepang menunjukkan siaran langsung pelayaran kapal Marinnette.
Sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara Pusat Kawalan SNCC, Gudang Mapim Malaysia Central, Sepang menunjukkan siaran langsung pelayaran kapal Marinnette.
A
A
A

SEPANG – Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Marinette masih meneruskan pelayaran meskipun 42 kapal lain telah dipintas tentera Israel.

Menerusi siaran langsung sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara setakat jam 12 tengah hari, kapal itu dilaporkan belayar dengan kelajuan 6.6 knot dan kini berada kira-kira 77 batu nautika dari pantai Gaza.

Flotila terakhir itu dilihat melepasi lokasi Fair Lady ditahan dan pelayarannya mula menghampiri kawasan kapal Mango yang meletakkan status kecemasan.

Jurucakap flotila dalam satu kenyataan di Telegram memaklumkan kru Marinette tidak akan berpatah balik meskipun menyedari risiko yang dihadapi selepas kapal-kapal GSF dipintas dan penumpangnya diculik secara tidak sah.

“Dunia menyaksikan apa yang berlaku apabila orang awam mencabar satu kepungan, namun begitu, Marinette terus belayar.

“Dia tahu nasib saudara-saudaranya di lautan. Dia tahu apa yang menanti. Dan dia enggan berpatah balik,” katanya.

Menurutnya, aktivis menyifatkan kapal itu sebagai sumud yang menjadi simbol keteguhan dalam menghadapi ketakutan, sekatan dan kekejaman.

“Dia adalah cerminan apa yang kita lihat di jalanan seluruh dunia: manusia yang sedar risikonya, yang melihat penindasan, tetapi tetap berdiri teguh dalam solidariti.

“Tidak kira apa yang bakal terjadi, penolakan ini sudah pun menulis sebuah bab baharu. Gaza tidak bersendirian.

Artikel Berkaitan:

“Palestin tidak dilupakan. Kita tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Marinette sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah mekanikal dan telah ketinggalan di belakang kumpulan utama armada.

GSF yang semakin menghampiri perairan Gaza dengan membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin bertukar menjadi krisis antarabangsa.

Misi ini bertujuan menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan akibat konflik dan sekatan berpanjangan.

Konvoi misi kemanusiaan yang turut membawa 23 rakyat Malaysia telah dipintas dan ditahan oleh Tentera Laut Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean pada Rabu malam waktu Gaza.

Ringkasan AI

  • Kapal Marinette dari misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla terus berlayar ke Gaza meskipun 42 kapal lain dipintas oleh tentera Israel
  • Berada 77 batu nautika dari pantai Gaza dan terus belayar dengan kelajuan 6.6 knot
  • Kru Marinette bertekad tidak berpatah balik walaupun menyedari risiko diculik secara tidak sah oleh tentera Israel
  • Kapal Marinette dianggap sebagai simbol keteguhan menghadapi ketakutan dan kekejaman serta solidariti terhadap Palestin
  • Misi ini menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang menghadapi krisis kemanusiaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!